suria

SPR Kaji Punca Jumlah Keluar Undi PRK Chempaka Merosot

KOTA BHARU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengkaji punca kemerosotan jumlah keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka di Kelantan.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Yusuf berkata, hanya 55 peratus daripada 21,890 jumlah pengundi berdaftar di kawasan itu menunaikan tanggungjawab mereka.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak antara faktor jumlah peratusan yang rendah itu ialah keputusan Barisan Nasional (BN) tidak bertanding pada PRK tersebut.

"Ini berlaku sebagaimana pada PRK lain yang apabila BN tidak meletakkan calonnya, jumlah pengundi yang keluar mengundi secara realitinya rendah," katanya kepada pemberita di Pusat Penjumlahan Undi Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Pengkalan Chepa, di sini, Ahad.

PRK ini diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, 84, pada 12 Februari lepas.

PAS berjaya mengekalkan kerusi DUN Chempaka apabila calonnya Ahmad Fathan Mahmood@Mahamad mengalahkan empat calon Bebas, dengan majoriti 10,092 undi.

Ahmad Fathan, Ketua Urusan Ulama PAS DUN Chempaka, memperoleh 10,899 undi. Calon bebas iaitu bekas Naib Presiden Perkasa Kelantan, Sharif Mahmood mendapat 807 undi; Yang Dipertua Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang, Fadzillah Hussin (89 undi); bekas pensyarah Izat Bukhary Ismail Bukhary (51 undi) dan ahli perniagaan Aslah Mamat yang memperoleh 27 undi.

Abdul Aziz berkata, jumlah pengundi yang rendah itu juga berlaku pada PRK di DUN Penanti (46 peratus) dan Parlimen Bukit Gelugor (50 peratus) mungkin disebabkan BN tidak meletakkan calon.

Katanya, SPR pada awalnya menjangkakan kira-kira 70 peratus pengundi akan keluar mengundi berasaskan beberapa faktor antaranya keadaan cuaca yang baik, tiada kekacauan dan lalu lintas lancar.

SPR, Chempaka

Artikel Lain