suria

Kit Siang Cadang Pembentukan Kerajaan Baharu 'Save Malaysia'

Lim Kit Siang.

PETALING JAYA: Veteran DAP, Lim Kit Siang mencadangkan pembentukan sebuah persekutuan baharu yang dikenali sebagai "Save Malaysia" (Selamatkan Malaysia) yang terdiri daripada ahli dari pelbagai latar belakang politik berbeza yang bermatlamat untuk memperjuangkan Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang.

Berucap pada majlis makan malan ulang tahun DAP Bukit Bintang pada Ahad, Lim mendakwa ahli-ahli politik dari kedua-dua pihak dalam jurang politik akibat perbezaan fahaman pada masa ini dapat menangani skandal dan konflik ideologi politik dan agama antara wakil pakatan masing-masing.

"Pakatan Rakyat mengalami masalah besar dalam tujuh tahun sejarah penubuhannya, dan tiada sesiapa pun boleh katakan sama ada Pakatan Rakyat ada lagi dalam beberapa hari akan datang," katanya, yang merujuk kepada ketegangan yang berlaku akibat desakan PAS untuk melaksanakan hudud.

Beliau berkata, malah antara Umno, masih tidak jelas pendirian mengenai hudud apabila masing-masing mempunyai pandangan berbeza berhubung perkara itu.

"Dalam senario politik baharu di mana (Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak) mengumumkan sokongan Umno terhadap enakmen hudud yang dibawakan oleh PAS, mungkin sudah tiba masanya untuk pakatan baharu 'Save Malaysia' yang meliputi ahli-ahli Parlimen dari kedua-dua pihak politik termasuk Sabah dan Sarawak, bagi mempertahankan perlembagaan dan kedaulatan undang-undang dengan perdana menteri baharu dan kerajaan Malaysia yang baharu," kata Lim.

Tambahnya, pakatan di bawah perdana menteri itu boleh di mana-mana pihak jurang politik.

Bagaimanapun, Lim mengakhiri ucapan dengan menekankan bahawa perkara itu merupakan pandangan peribadi beliau dan bukan pendirian parti.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada Khamis meluluskan rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) yang hanya terpakai kepada orang Islam mukallaf sahaja apabila ia dilaksanakan kelak di negeri ini.

Semua 44 Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) iaitu 31 daripada PAS, 12 Barisan Nasional (BN) dan seorang Parti Keadilan Rakyat (PKR) hadir ketika enakmen itu diluluskan. 

PAS bercadang membentangkan rang undang-undang persendirian di Parlimen bulan depan bagi mendapatkan kelulusan beberapa pindaan Kanun Jenayah Syariah II 1993 yang akan membolehkan ia melaksanakan hukum hudud dan qisas di negeri itu. 


Lim Kit Siang, hudud

Artikel Lain