suria

PKGM Nafi Anjur Perhimpunan Di Dataran Merdeka Esok

- Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kebajikan Gabungan Melayu Islam Malaysia (PKGM) menafikan khabar angin melalui media sosial kononnya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu akan menganjurkan satu perhimpunan di Dataran Merdeka, Sabtu.

Presidennya, Razak Dahaman berkata PKGM tidak menganjur perhimpunan umum untuk orang ramai berkumpul bagi menghalau kaum lain dari negara ini untuk memberi laluan dalam melaksanakan hukum hudud.

Beliau kesal maklumat palsu perhimpunan itu disebarkan melalui laman sosial WhatsApp dan menggunakan lambang pertubuhan itu.

"Itu fitnah semata-mata. Tindakan individu yang tidak bertanggungjawab itu memberikan imej buruk kepada pertubuhan saya," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Jumaat.

Susulan itu, beliau telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh dekat sini, Khamis.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Junaidi Bujang ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan akan merujuk kes terbabit kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan seterusnya.

Sementara itu, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Muhd Fuad Abu Zarim berkata, pihaknya sentiasa memantau berhubung isu melibatkan perkauman kerana boleh menjejaskan keharmonian hidup berbilang kaum di negara ini.

"PDRM mempunyai unit khas yang memantau penyebaran maklumat melalui media sosial sama ada berbentuk jenayah atau hasutan," katanya sambil menegaskan tindakan tegas akan diambil tehadap mereka yang cuba menjejaskan ketenteraman awam.
PKGM, Razak Dahaman

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain