suria

Tindakan Bersepadu Perlu Bagi Tangani IS - Ayob Khan

Ayob Khan Mydin.
PUTRAJAYA: Tindakan bersepadu semua pihak berkaitan perlu digerakkan segera bagi membendung penularan fahaman dan penglibatan rakyat negara ini dalam kumpulan militan Negara Islam (IS) yang semakin membimbangkan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti-Pengganas, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata ketika ini, ancaman serta pengaruh IS ke atas masyarakat adalah amat serius dan tidak menunjukkan tanda-tanda akan berkurangan.  

Beliau berkata usaha polis membendung pengaruh IS secara bersendirian bertambah sukar kerana kumpulan itu menggunakan ayat-ayat Al-Quran dan hadis yang dimanipulasi sebagai antara taktik menarik sokongan.

"Untuk menyekat penyebaran ideologi IS perlukan kerjasama semua pihak, khususnya jabatan atau agensi agama kerana kita akui polis tiada kepakaran berhubung perkara berkenaan, khasnya dalam aspek penggunaan hadis atau ayat Al-Quran," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas berucap pada program Halaqah Bicara Wasatiyyah: 'IS dan Ancamannya', anjuran Institut Wasatiyyah Malaysia di bangunan Perdana Putra di sini hari ini, Ayob Khan berkata ketika ini pihaknyahanya melaksanakan peranan berdasarkan polisi dan tugas polis iaitu menahan mereka yang telah disyaki terlibat dengan IS.

Beliau berkata selain jabatan agama, pihaknya juga memerlukan kerjasama daripada cendikiawan agama untuk melakukan tugas dari sudut kepakaran masing-masing seperti mewujudkan laman blog bagi menjawab perkara yang dibangkitkan IS seperti maksud sebenar jihad dan hijrah.

"Benda ini pihak polis tak boleh buat. Kita bukan pakar bab agama. Kita memerlukan ulama atau cendikiawan agama untuk melakukannya dan ia perlu dimulakan sekarang.

"Sebab itu, saya rasakan wajar satu usaha bersepadu yang melibatkan semua pihak dapat digerakkan segera bagi menyelaras tindakan agar agar ancaman IS dapat dilakukan secara lebih tersusun dan berkesan sekali gus menyekat penglibatan rakyat Malaysia pada peringkat awal lagi," katanya.

Selain itu, beliau turut menyarankan beberapa pihak lain seperti Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut sama terlibat dalam gerakan bersepadu itu kerana pelajar institusi pengajian tinggi merupakan antara sasaran rekrut IS, manakala masalah keluarga adalah sebahagian punca rakyat Malaysia menyertai kumpulan militan itu.

Beliau berkata gerakan bersepadu itu penting kerana selepas pelbagai pendedahan berhubung keganasan IS dan tangkapan terhadap mereka yang disyaki terlibat dibuat, isu atau ancaman IS terus terus merebak malah bilangan rakyat Malaysia yang pergi ke Syria juga semakin meningkat.

Untuk makluman, dari Januari hingga Jun tahun lepas hanya 30 rakyat Malaysia menyertai IS di Syria tetapi jumlah itu meningkat sekali ganda pada Julai hingga Disember kepada 60 orang dan itu satu perkembangan yang merisaukan, katanya.

Artikel Lain