suria

Gangguan Bekalan Air di 20 Kawasan di Klang & Shah Alam

KUALA LUMPUR: Sebanyak 20 kawasan di Klang dan Shah Alam, Selangor melibatkan 65,796 buah rumah dijangka terputus bekalan air dan berhadapan masalah tekanan air rendah hari ini. 

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dalam satu kenyataan berkata gangguan itu berikutan berlaku kebocoran pada paip keluli lembut bersaiz 1,700 milimeter.

"Berikutan itu bekalan air dari Bukit Mayong ke Lambee pada jajaran paip di Bukit Cherakah yang bocor perlu ditutup bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dilaksanakan segera," katanya.

Sehingga kenyataan ini dikeluarkan, kerja-kerja pembaikan yang dimulakan sejak 1 tengah hari masih dilakukan dan belum dapat dijangka bila siap.

Bagi mengurangkan kesulitan pengguna, bantuan bekalan air kecemasan akan diberikan menerusi lori tangki dan tangki air statik selepas tempoh 24 jam, kata Syabas

Syabas turut memaklumkan sebahagian pengguna di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual dan tekanan air rendah, pada Khamis.

Gangguan bekalan air itu berikutan penutupan sementara Logi Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih yang dikendalikan Syarikat Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABASS).

"Berikutan penutupan sementara loji tersebut, sebahagian pengguna di 61 kawasan di Wilayah Petaling (143,098 pintu rumah); 209 kawsan di Wilayah Hulu Langat (143,413 pintu rumah); 75 kawasan di Wilayah Kuala Langat (47,147 pintu rumah) dan 85 kawasan di Wilayah Sepang (61,469 pintu rumah) dijangka berhadapan gangguan bekalan air.

"Pihak konsortium ABASS telah memaklumkan kepada Syabas bahawa operasi LRA Sungai Semenyih terpaksa dihentikan sementara pada jam 8.30 malam hari ini, disebabkan pencemaran sumber air mentah dari Sungai Semenyih," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, penutupan operasi loji rawatan air itu kini masuk kali keempat dilakukan oleh ABASS dalam tempoh dua bulan setelah Sungai Semenyih mengalami pencemaran yang sama hingga menyebabkan operasi loji tersebut dihentikan pada 15 Februari, 3 Mac dan pada 7 Mac lepas.

Katanya syarikat operator loji rawatan air tersebut masih tidak dapat memastikan operasi loji rawatan ini akan kembali pulih kerana ia bergantung kepada tahap pencemaran tersebut.

gangguan bekalan air, Syabas

Artikel Lain