suria

Majlis Akad Nikah Puteri Najib Selamat Disempurnakan di Seri Perdana

Majlis akad nikah anak perempuan Perdana Menteri, Nooryana Najwa dan pasangannya, Daniyar Kessikbayev selamat disempurnakan di Seri Perdana, malam Khamis. Daniyar Kessikbayev menyarungkan cincin ke jari Nooryana Najwa selepas diijab kabulkan. -- fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Majlis akad nikah anak perempuan Perdana Menteri, Nooryana Najwa dan pasangannya, Daniyar Kessikbayev selamat disempurnakan di Seri Perdana, malam Khamis. 

Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menyempurnakan sendiri akad nikah itu. Daniyar melafazkan akad nikah itu sekali dalam Bahasa Malaysia.

Adik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Johari dan Datuk Mohamed Nizam, menjadi saksi akad nikah itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (kanan) melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang bapa menikahkan anaknya, Nooryana Najwa dengan pilihan hatinya, Daniyar Kessikbayev (kiri) pada majlis akad nikah di Seri Perdana di sini malam ini. Dengan sekali lafaz Daniyar kini sah menjadi suami kepada Nooryana Najwa. 



Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajjah Haminah berkenan berangkat ke majlis yang bermula jam 9 malam itu.

Turut berangkat Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom, Sultan Perak, Sultan Dr Nazrin Shah Sultan Azlan Shah, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman serta menteri-menteri Kabinet juga hadir.

PENGANTIN BARU…Daniyar Kessikbayev, 27, dan puteri Perdana Menteri, Nooryana Najwa, 27, selamat diijab kabulkan pada majlis akad nikah di Seri Perdana di sini malam Khamis.


Turut bersama ibu Perdana Menteri, Tun Rahah Mohd Noah serta keluarga terdekat kedua-dua pasangan pengantin.

Hadir sama isteri Naib Presiden Indonesia, Ibu Mufidah.

Sebelum akad, khutbah nikah dibacakan oleh Ketua Penolong Pengarah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Dr.Sirajuddin Suhaimi.

Takliq lafaz nikah dibacakan Daniyar di hadapan Imam Besar Masjid Putra, Putrajaya, Abd Manaf Mat yang sebelum itu membacakan doa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bertindak sebagai jurucakap mewakili keluarga pengantin perempuan, manakala jurucakap keluarga pengantin lelaki diwakili Tan Sri Dr Rais Yatim.

Selesai bersalaman dengan bapa mertua dan saksi, Daniyar yang berasal dari Kazakhstan kemudiannya menunaikan solat sunat. 

Ini diikuti dengan upacara membatalkan wudhu' dan menyarung cincin antara kedua-dua pengantin.

Upacara merenjis pasangan mempelai dimulakan oleh Rahah, diikuti anggota keluarga Daniyar termasuk ibunya, Maira Kurmangalieva dan disusuli Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Nooryana Najwa, 27, mengenali Daniyar, 27, ketika kedua-duanya menuntut di Amerika Syarikat.

Artikel Lain