suria

Tiada Istilah 'Kebal' Buat Ahli Parlimen Langgar Undang-Undang - Abu Zahar

Abu Zahar Ujang (kanan) beramah mesra bersama Presiden Majlis Antara Parlimen Malaysia-Korea Selatan, Moon Hee Sang (kiri) pada kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Dewan Negara di Bangunan Parlimen, Rabu. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Tiada istilah kekebalan jika mana-mana anggota Parlimen mengeluarkan kenyataan berhubung kait isu hasutan semasa berhujah di dalam persidangan Dewan Rakyat atau Dewan Negara. 

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, setiap anggota Parlimen tidak boleh sewenang-wenangnya mengeluarkan sebarang kenyataan yang dianggap sensitif kerana perkara seumpama itu hanya akan menyebabkan mereka dikenakan tindakan undang-undang.

"Anggota Parlimen kena hormati undang-undang yang mereka sendiri terlibat dalam proses meluluskannya.

"Sebagai anggota Parlimen, amat memalukan jika tidak baca dan faham undang-undang," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Presiden Majlis Antara Parlimen Malaysia-Korea Selatan Moon Hee-Sang di pejabatnya di Parlimen, di sini Rabu.

Beliau mengulas penahanan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) susulan kenyataan beliau pada persidangan Dewan Rakyat minggu lepas yang menyentuh sistem kehakiman negara.

Jelas Abu Zahar, setiap anggota Parlimen memiliki hak untuk berbahas tetapi tidak boleh melanggari undang-undang yang digariskan dan mempertikai badan kehakiman yang berperanan mendaulatkan undang-undang negara.

"Saya sendiri sebagai Yang DiPertua Dewan Negara sentiasa bagi galakan dan peluang kepada semua anggota Parlimen untuk bercakap tetapi jangan membangkitkan perkara demi agenda politik dan boleh mengelirukan rakyat," katanya.

Di bawah Seksyen 36(8), anggota Parlimen dalam perbahasan mereka adalah dilarang menyentuh kelakuan atau sifat Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja, Yang Dipertua Negeri atau hakim-hakim dan lain-lain orang yang menjalankan keadilan mahkamah atau ahli Majlis Pasukan Bersenjata.

Artikel Lain