suria

DAP Punca Jika Pakatan Rakyat Berpecah - PAS

KUALA LUMPUR: DAP perlu dipersalahkan sekiranya kerjasama politik antara tiga komponen utama pakatan pembangkang berpecah akibat bantahan berterusan parti itu berhubung pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, sikap menentang pelaksanaan undang-undang Islam itu jelas menunjukkan DAP tidak menghormati perjuangan PAS.

"Sekali lagi saya tegaskan bahawa kunci keutuhan Pakatan Rakyat itu adalah pada sikap hormat-menghormati sesama kita. Malangnya, DAP tidak bersikap demikian.

"Maka jika lemahlah pakatan, ia adalah berpunca daripada sikap tidak hormat DAP terhadap PAS sendiri. Bukan kerana PAS bertegas mahu laksanakan Undang-undang Jenayah Islam,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab amaran pimpinan DAP termasuk Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke bahawa Pakatan Rakyat mungkin akan berpecah sekiranya PAS meneruskan hasrat melaksanakan hudud.

"Nasihat tulus ikhlas saya pula buat Kit Siang, Loke dan seluruh pimpinan DAP...hormatilah PAS," katanya.

Selain itu Mohd Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, Umno sebagai musuh politik tidak boleh dipersalahkan sekiranya berlaku keretakan dalam pakatan pembangkang.

"Tidak perlulah DAP mengugut PAS dengan ancaman pakatan akan berpecah jika PAS teruskan usaha itu. Pecah atau kukuh pakatan adalah di tangan kita yang menentukan bukan di tangan Umno.

"Saya yakin dan percaya, jika DAP terus berkeras dengan PAS dalam isu Undang-undang Jenayah Islam ini, Umno paling gembira. Cita-cita mereka untuk melihat pakatan berpecah menjadi semakin cerah. PAS sudah pun berhabis lembut dan lunak menjelaskan semuanya kepada DAP tentang isu ini," katanya.

Pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada Rabu, kerajaan PAS Kelantan selesai membentangkan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015 biarpun mendapat tentangan daripada sekutunya dalam pakatan pembangkang.

Rang undang-undang tersebut adalah pindaan kepada Enakmen Jenayah Syariah (II) 1993 atau lebih dikenali dengan undang-undang hudud.

DAP, PAS, PKR

Artikel Lain