suria

Dua Pelajar Antara Ditahan Guna Wang Palsu

TEMERLOH: Polis menahan tiga lelaki termasuk dua pelajar kolej yang disyaki terlibat dengan penggunaan wang palsu dalam satu serbuan di Pekan Lachang Isnin lepas.

Timbalan Ketua Polis Temerloh, Supt Zundin Mahmood berkata hasil penahanan ketiga-tiga suspek berusia antara 19 hingga 30 tahun itu, polis turut merampas 49 keping not wang RM100 dipercayai palsu.

"Kesemua suspek termasuk seorang mekanik ditahan kira-kira jam 3.30 petang Isnin lepas semasa sedang membeli barangan di salah sebuah kedai runcit di Pekan Lanchang.

Hasil pemeriksaan, polis menjumpai 13 keping wang kertas RM100 yang disyaki palsu didalam sebuah beg hitam yang dibawa salah seorang suspek," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut ke atas sebuah kenderaan yang dimiliki oleh suspek berhampiran tempat itu, polis menemui menemui 13 keping lagi wang not RM100 dipercayai palsu, enam keping cakera digital video (DVD) lucah serta kulit DVD lucah yang disembunyikan di dalam sebuah buku nota di bahagian belakang bonet kereta.

Hasil soal siasat yang dijalankan, polis turut memeriksa sebuah lagi kenderaan sewa yang ditinggalkan oleh suspek di Plaza Tol Lanchang, dan menemui 23 keping lagi wang not RM100, katanya.

Zundin berkata, kesemua suspek yang berasal dari Selangor dipercayai menjadikan kedai runcit di kawasan pedalaman untuk membelanjakan wang palsu itu kerana peniaga di kawasan kampung tidak mempunyai mesin pengimbas wang.

Beliau berkata suspek ditahan reman seminggu dan disiasat di bawah Seksyen 489B Kanun Keseksaan, iaitu menggunakan wang palsu sebagai wang tulen; Seksyen 489C Kanun Keseksaan, memiliki wang kertas palsu dan Seksyen 5(1)(a) Akta Penapisan Filem 2002, memiliki filem atau bahan lucah.

Polis, Wang Palsu

Artikel Lain