Pindaan Hudud: DAP Tuduh 'PAS Kelantan' Tikam Dari Belakang' - Semasa | mStar

Pindaan Hudud: DAP Tuduh 'PAS Kelantan' Tikam Dari Belakang'

Anthony Loke.
PETALING JAYA: DAP mendakwa tindakan PAS Kelantan membentangkan pindaan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 atau lebih dikenali sebagai undang-undang hudud di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada Rabu sebagai 'musuh dalam selimut' kerana membelakangkan konsesus bersama Pakatan Rakyat (PR). 

Sambil menyifatkan tindakan PAS Kelantan sebagai 'menikam parti itu daripada belakang', Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata pucuk pimpinan tertinggi DAP akan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) Isnin ini untuk memutuskan hala tuju DAP bersama PR.

"PR tidak akan berjaya menumbangkan Barisan Nasional selagi ada 'musuh dalam selimut' yang sentiasa membelakangkan konsensus bersama dan bertindak mengikut rentak yang dimainkan oleh Umno. 

"Pimpinan tertinggi DAP akan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) akan mengadakan mesyuarat pada Isnin (23 Mac) di Kuala Lumpur untuk  membincang dan memutuskan hala tuju DAP bersama PR selepas 'ditikam dari belakang' oleh PAS Kelantan pada hari ini," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu. 

Beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban turut mendakwa tindakan PAS Kelantan itu sebagai satu tindakan provokasi yang akan memecahbelahkan PR. 

"Tindakan kerajaan PAS Kelantan membentangkan Enakmen Jenayah Syariah II (1993) 2015 di DUN Kelantan pada hari ini adalah satu keputusan yang melanggar Dasar Bersama PR dan mengkhianati konsensus Majlis Pimpinan PR.

"DAP membantah sekeras-kerasnya tindakan PAS Kelantan yang mengingkari keputusan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 12 Mac 2015 dan merupakan satu tindakan provokasi untuk memecahkan PR," katanya.

Mengulas lanjut Anthony berkata, DAP konsisten dengan pendirian mereka bahawa pelaksanaan hudud adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan tidak sesuai untuk dilaksanakan dalam konteks masyarakat majmuk di negara ini

"Sejak hari pertama DAP bekerjasama dengan PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam kerangka PR selepas Pilihanraya Umum ke-12 pada 2008, DAP sentiasa menegaskan bahawa pelaksanaan hudud bukan dan tidak akan menjadi agenda bersama dalam PR.

"DAP komited untuk menjayakan misi PR sebagai kerajaan alternatif untuk menggantikan Barisan Nasional yang korup dan boros. Namun, kami sedar ada pihak-pihak tertentu dalam PAS yang lebih cenderung memberikan “pelampung” kepada Umno untuk menyelamatkan diri daripada pelbagai skandal rasuah yang didedahkan kebelakangan ini," katanya. 

Pada Rabu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob telah membentangkan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) pada sidang DUN Kelantan bagi membolehkan hukum hudud dilaksanakan di negeri itu.

Selepas draf pindaan enakmen itu dibahaskan, ia seterusnya akan menjalani proses undian sama ditolak atau disokong bagi membolehkan Kerajaan Kelantan melaksanakan hukum hudud di negeri itu.

Bagaimanapun, Kerajaan Kelantan dijangka berdepan laluan mudah apabila majoriti Adun Kelantan terdiri daripada wakil rakyat PAS, iaitu seramai 32 orang manakala 12 lagi Umno dan seorang PKR.

PAS , DAP , hudud , polisi bersama

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel