suria

Malaysia Dan Indonesia Teliti Mekanisme Satu Saluran Pengambilan Amah

Datuk Seri Richard Riot
JAKARTA: Malaysia dan Indonesia sedang berusaha untuk membentuk mekanisme mewujudkan satu saluran pengambilan pembantu rumah dari republik berkenaan ke negara ini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata, pada dasarnya kerajaan Indonesia menyambut baik dan bersedia untuk merealisasikan kaedah satu saluran itu.

Beliau berkata selain itu, pihaknya juga menggalakkan majikan memohon pembantu rumah menerusi Jabatan Tenaga Kerja kerana jabatan berkenaan mempunyai senarai agensi perkhidmatan pekerja asing yang berdaftar.

"Terdapat 377 agensi perkhidmatan pekerja asing di Malaysia, katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Ketenagakerjaan Indonesia Hanif Dhakiri di sini Isnin.

Katanya, kaedah satu saluran sebenarnya dapat merealisasikan memorandum persefahaman (MoU) mengenai Pengambilan dan Penempatan Pembantu Rumah Indonesia yang ditandatangani di Bali sebelum ini.

"Pada masa ini terdapat lebih 4,000 pembantu rumah yang masuk melalui saluran rasmi dan lebih 100,000 memasuki negara ini tanpa menggunakan saluran tidak rasmi," katanya.

Beliau berkata menerusi mekanisme satu saluran itu juga, majikan hanya perlu membayar bon sebanyak RM7,800 iaitu sebanyak RM6,000 ditanggung oleh majikan dan baki RM1,800 dibayar oleh pekerja itu sendiri.

Majikan kemudian boleh mendapat semula bon pekerja sebanyak RM1,800 menerusi potongan gaji pekerja dengan syarat ia dibuat secara ansuran dengan potongan tidak melebihi 50 peratus.

"Dalam perjumpaan hari ini, kami juga menyambut baik cadangan kerajaan Indonesia yang mahu istilah pembantu rumah atau orang gaji ditukarkan kepada pembantu domestik bagi menjaga imej pekerja itu sendiri," kata beliau.

Beliau berkata, perjumpaannya dengan Hanif adalah susulan lawatan Presiden Indonesia Joko Widodo pada Februari lepas dan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya pengambilan pembantu rumah dari Indonesia dilakukan melalui satu saluran sahaja.

Najib berkata, satu saluran itu bertujuan untuk memelihara kepentingan pembantu rumah Indonesia selain membolehkan mereka mendapat latihan yang mencukupi dan diberi perlindungan sewajarnya ketika bekerja di Malaysia.

Artikel Lain