suria

Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor Bermula Dengan Istiadat Meletak Kerja

Askar Timbalan Setia Negeri Johor menaikkan bendera Istiadat sambil disaksikan oleh Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli (berdiri dua kiri) pada upacara Istiadat Meletak Kerja di Tugu Peringatan Istana Besar, pada Isnin.

JOHOR BAHARU: Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dimulakan pada Isnin dengan Istiadat Meletak Kerja sebagai simbolik bermulanya istiadat berkenaan.

Istiadat itu disempurnakan dengan upacara menaikkan Bendera Istiadat Kerajaan Johor di Tugu Peringatan Istana Besar, di sini pada pukul 9.15 pagi.

Upacara menaikkan bendera berkenaan dimulakan dengan perarakan membawa masuk bendera oleh Askar Timbalan Setia Negeri Johor dan diikuti bacaan doa oleh Mufti Johor Datuk Mohd Tahrir Shamsudin.

Istiadat itu disaksikan Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Ismail Karim, Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, barisan exco kerajaan negeri dan pegawai kerajaan.

Datuk Penghulu Istiadat Datuk Abdul Latiff Yusof ketika membacakan pengisytiharan berkata bendera berkenaan akan dikibarkan mulai hari ini dan diturunkan semula pada 21 April depan.

Tujuh das tembakan meriam kedengaran sejurus selepas bendera dinaikkan. 

Istiadat Kemahkotaan Sultan Ibrahim sebagai Sultan Johor kelima dalam sejarah Johor moden akan diadakan pada Isnin depan di Istana Besar, di sini. -BERNAMA

Artikel Lain