suria

Kecewa Terhadap Presiden, 17 AJK PAS Kawasan Batu Letak Jawatan

Ishak Surin

KUALA LUMPUR: Krisis dalaman PAS khususnya tekanan terhadap presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semakin meruncing apabila 17 ahli jawatankuasa tertinggi PAS Kawasan Batu termasuk Yang Dipertuanya, Ishak Surin meletak jawatan serta-merta pada Isnin.

Ishak yang masih kekal sebagai ahli PAS mendakwa, tindakan itu diambil kerana mereka kecewa dengan sikap Abdul Hadi yang gagal menguruskan konflik dalaman parti itu.

"Setelah meneliti beberapa perkembangan muktahir, harapan besar kami agar PAS kembali stabil ternyata meleset, sebaliknya menjadi lebih meruncing dan parah ekoran kempen-kempen menghadapi pemilihan kawasan untuk Muktamar Tahunan PAS kali ke-61 Jun ini. Pada masa sama tiada usaha jelas daripada presiden untuk meredakan atau menghentikan krisis ini.

"Maka kami mengambil tindakan 'bermufarakah' (berundur diri) dari kepimpinan PAS sedia ada, dan juga 'bermufarakah' daripada memimpin PAS kawasan Batu, sehinggalah kepimpinan PAS positif kepada realiti sebenar, stabil dan ikatan ukhwah kembali segar sesama ahli dan rakan-rakan Pakatan Rakyat," katanya pada sidang media di sini, Isnin.

Turut mengikut jejak langkah Ishak ialah Timbalan YDP PAS Batu, Datuk Shuhaimi Ab Rahaman; Naib YDP, Datuk Tarmizi Mohd Jam; Setiausaha, Datuk Ismail Yahaya; Ketua Penerangan, Marzuki Zakaria serta Pengarah Pilihan Rayanya, Jamhor Nawawi.

Tambah Ishak, kumpulan itu berharap tiada sebarang pencalonan terhadap mereka oleh mana-mana cawangan atau dewan-dewan pada mesyuarat agung tahunan PAS Batu kali ke-30 yang akan diadakan pada 19 April depan.

Mengulas lanjut mengenai langkah drastik kumpulan itu, Ishak berkata mereka berharap Abdul Hadi tidak terus mengamalkan sikap ‘flip flop’ terutamanya membabitkan hubungan parti itu dalam pakatan pembangkang.

"Ternyata dalam isu MB Selangor dan beberapa isu lain, PAS dilihat tidak bersikap telus serta pendirian sebenar PAS dalam isu 'kerajaan perpaduan’," katanya.

PAS, Batu

Artikel Lain