suria

Penjual Besi Buruk, Tiga Rakan Didakwa Culik, Bunuh Wanita

PETALING JAYA: Seorang penjual besi buruk dan tiga rakannya termasuk seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, Khamis atas pertuduhan menculik dan membunuh seorang pengarah urusan syarikat pembuatan jubin, bulan lepas.

Kavin Mukilan Chandrasegaran, 21, didakwa bersama-sama Sunil Singh, 26, A. Malarvili (wanita), S. Vivegkanathaa, 23, didakwa membunuh Balbir Kaur, 68, di Jambatan Kedua, KM12 Batu Kawan, Pulau Pinang, 14 Feb lepas.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 3.55 pagi dengan menutup mulut sehingga mangsa mati lemas dan mencampakkan mayat mangsa ke laut.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Kesemua tertuduh turut didakwa menculik Balbir bagi meminta wang tebusan sebanyak RM2 juta di sebuah tapak pembinaan tepi Sunway Pyramid, Bandar Sunway, di sini, pada pukul 1.40 tengah hari, pada 13 Feb lepas.

Bagi kesalahan kedua, mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika ia tidak dihukum mati, boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Kesemua mereka hanya mengganggukkan kepala tanda faham atas kedua-dua pertuduhan terhadap mereka dan tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid menetapkan 14 April depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Saphirra Selamat manakala peguam S. Prakash mewakili Kavin Mukilan, Vivegkanathaa dan Malarvili manakala Sunil pula tidak diwakili peguam.

Turut hadir di mahkamah hari ini ialah peguam Ram Karpal Singh yang merupakan peguam pemerhati bagi pihak keluarga mangsa.

Sebelum ini akhbar melaporkan mayat ahli perniagaan wanita berbangsa Sikh  itu ditemui di kawasan laut di Sungai Udang, Pulau Pinang pada 14 Feb lepas dan penculik menuntut wang tebusan RM2 juta daripada keluarga mangsa bagi pembebasannya.

Culik, Bunuh

Artikel Lain