suria

Pakatan Kemuka Usul Di Parlimen Bahas Hukuman Terhadap Anwar

Datuk Johari Abdul
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen pembangkang telah mengemukakan usul di Parlimen untuk membahaskan mengenai keputusan lima panel hakim Mahkamah Persekutuan yang menjatuhkan hukuman terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Usul tersebut yang ditandatangani oleh 70 ahli Parlimen telah disampaikan oleh Ketua Whip Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Johari Abdul dan diterima oleh pejabat Speaker Dewan Rakyat pada tengah hari Khamis.

"Kami meminta supaya Yang di-Pertua Dewan memberikan tindak balas yang positif agar kami boleh mengambil bahagian (bahas).

"Malah, kami juga meminta Barisan Nasional supaya mengambil bahagian kerana ini adalah satu isu yang besar," kata Johari pada sidang akhbar di lobi Parlimen.

"Ia adalah isu yang bukan sahaja melibatkan ahli-ahli Parlimen tetapi juga pemimpin pembangkang yang saya rasa perlu mendapat akses mencukupi kepada keadilan.

"Kami menjangkakan, berharap, dan meminta Speaker memberikan respon yang positif dan usul itu dibahaskan secepat mungkin," kata Johari yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani.

Pada 10 Februari, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang menjatuhkan hukuman lima tahun penjara terhadap Anwar atas kesalahan meliwat.

Pakatan Rakyat kini mempunyai 86 ahli di Parlimen. Terdapat 222 kerusi di Parlimen.

Artikel Sebelum

Artikel Lain