suria

PRK Chempaka: Calon PAS Akui Tempoh Kempen 'Sejuk' Tanpa BN

Calon PAS Ahmad Fathan Mahmood@Mahamad (tengah).

KOTA BAHARU: PAS, dalam misi mempertahankan kerusi  Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, dilihat tidak lagi bersungguh-sungguh berkempen selepas Barisan Nasional (BN) memutuskan tidak bertanding kerana memberi fokus kepada bantuan banjir di Kelantan.

Calon PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chempaka Ahmad Fathan Mahmood@Mahamad ketika ditemui pemberita mengakui kempen yang dijalankan parti itu perlahan dan jentera parti masih kurang bekerja.

Ahmad Fathan berkata ia berikutan tiada persaingan daripada 'musuh ketat' mereka iaitu BN.

"Kalau tengok suasana berkempen masih lagi sejuk, jentera (PAS) sedikit perlahan (bekerja)," katanya ketika ditemui di sebuah rumah penduduk yang mengadakan kenduri di Pengkalan Nangka, Pengkalan Chepa di sini, Khamis.

Bagaimanapun beliau berkata PAS tetap mahukan majoriti kawasan berkenaan meningkat.

"Kita seboleh-bolehnya nak kekal ataupun tingkatkan majoriti yang pernah diperoleh Allahyarham Nik Abdul Aziz (Nik Mat) pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) yang lepas.

"Ia akan dijadikan kayu ukur kepada PAS untuk menghadapi PRU14 nanti walaupun dalam masa yang sama, kita jangka peratusan keluar mengundi akan menurun," katanya.

BN memutuskan tidak bertanding pada PRK itu bagi memberi tumpuan kepada kerja-kerja pemulihan pasca banjir setelah Kelantan dilanda banjir luar biasa pada Disember tahun lepas.

PRK tersebut diadakan berikutan kematian penyandangnya Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, 84, akibat kanser prostat pada 12 Feb lepas.

PRK DUN Chempaka pada 22 Mac ini menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon PAS dan empat calon bebas.

Chempaka, PAS, BN

Artikel Lain