suria

Pembatalan Penstrukturan Air Selangor Resahkan Rakyat

- Gambar hiasan
SHAH ALAM: Keengganan Kerajaan Negeri Selangor meneruskan perjanjian penstrukturan air bersama Kerajaan Persekutuan, bagi menjamin bekalan air terawat berterusan di negeri ini dilihat menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat negeri ini.

Menurut mereka yang ditemui Bernama sekiranya penstukturan air tidak diteruskan, dikhuatiri rakyat akan terbeban dengan krisis air yang lebih buruk.

Penduduk Apartmen Delima Bukit Jelutong di sini, Nazreen Mohd Nor, 33, berkata masalah air di Selangor perlu diatasi segera supaya tiada lagi penduduk terutamanya golongan tua yang terpaksa mengangkat air menaiki tangga apabila berlakunya krisis air.

Nazreen, kakitangan sebuah syarikat swasta, turut menyangkal kemampuan kerajaan Selangor mewujudkan negeri berkebajikan sedangkan isu air yang merupakan keperluan asas tidak dapat ditangani dengan baik.

"Isu air ini merupakan isu yang utama, macam mana kerajaan negeri mahu menjaga kebajikan rakyat sekiranya isu air pun mereka tidak boleh selesaikan," katanya kepada Bernama di sini Rabu.

Isnin lepas Kerajaan Negeri Selangor memutuskan untuk membatalkan perjanjian penstrukturan air dengan Putrajaya kerana menurut Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali, Kerajaan Persekutuan gagal mematuhi beberapa terma perjanjian yang ditandatangani kedua-dua pihak tahun lepas.

Keputusan itu dikhuatiri bakal menjejaskan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) yang fasa pertamanya dijadual siap pada 2017 untuk menyediakan air terawat kepada pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Berikutan itu Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili pada Selasa berkata perjanjian penstrukturan air di Selangor terlupus kerana keengganan kerajaan negeri menangani tiga daripada lapan syarat dalam perjanjian utama dengan kerajaan persekutuan.

Seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Wan, 41 pula meluahkan rasa kecewa terhadap Mohamed Azmin yang disifatkan tergesa-gesa membuat keputusan membatalkan perjanjian penstrukturan air itu.

"Ini mencerminkan sikap tidak mengambil berat terhadap nasib rakyat. Jangan mengambil keputusan mendesak yang akhirnya membawa keburukan kepada rakyat.

Rakyat tidak muhu krisis air ini terus berulang...sampai bila kita mahu berdepan dengan masalah yang sama," katanya.

Sementara itu, Wahidah Idris, 54, yang menetap di Meru, Klang berkata pihak yang bertanggungjawab perlu berfikir secara rasional dan bersikap profesional bagi mengatasi masalah air supaya rakyat tidak terus dibebani sehingga hilang keyakinan kepada pemimpin.

"Pihak yang terlibat perlu bersikap matang dan bekerjasama untuk menyelesaikan masalah air ini supaya rakyat tidak terus menjadi mangsa," katanya.

Artikel Lain