suria

Kerajaan Kaji Kawasan Baharu Di Sempadan, Berisiko Dibolosi

Datuk Seri Dr Wan Junaidi
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengkaji beberapa kawasan baharu yang berisiko dibolosi pihak-pihak tertentu selain sempadan Thailand dan Kalimantan, Indonesia bagi memperketatkan kawalan keselamatan di sempadan negara.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kawasan-kawasan tersebut akan dipantau oleh Unit Risikan Sempadan (URS) yang sebelum ini berperanan meningkatkan keupayaan risikan di kawasan sempadan negara khusus bagi aktiviti penyeludupan barangan terlarang, senjata api dan pemerdagangan manusia.

"Kita kaji beberapa sudut fizikal bukan sahaja electronic monitoring (pemantauan elektonik) bagi melihat sempadan (yang) panjang seperti Thailand dan Sarawak-Kalimantan dan Singapura serta semua sempadan yang sering dibolosi pihak tertentu.

"Unit sokongan ini (URS) akan mengenal pasti tempat kritikal yang sering dibolosi (untuk) didahulukan dan selepas itu kajian semula kawasan lain," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, Rabu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai seramai 53 pendatang asing tanpa izin (PATI) dipercayai warga Bangladesh dan pelarian Rohingnya ditahan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Padang Besar di sempadan Malaysia-Thailand di Perlis pada 1 Mac lepas.

Bernama sebelum ini melaporkan UPP percaya kumpulan PATI itu dibawa masuk oleh tekong darat dengan memanjat pagar keselamatan pada waktu malam dan berpecah dalam kumpulan dipercayai untuk menyukarkan dikesan pihak berkuasa.

Wan Junaidi berkata pada masa kini, sempadan darat Malaysia dengan dua buah negara kecil iaitu, Singapura dan Brunei dilihat tidak berisiko tinggi berbanding sempadan lain.

Artikel Lain