suria

Pelaksanaan CBP Kurangkan Kadar Ekonomi Terselindung - Ahmad Maslan

JOHOR BAHARU: Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) bermula 1 April ini dijangka dapat mengurangkan kadar 'ekonom iterselindung' Malaysia kepada 10 peratus berbanding 30 peratus sekarang.

Justeru, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan pelaksanaan CBP amat penting kepada kebajikan rakyat dan negara.

"Saya tidak faham kenapa pembangkang berterusan menyokong cukai jualan dan perkhidmatan (SST). 

"Ini bererti mereka hendak melindungi ekonomi terselindung (iaitu) melindungi orang yang lari cukai dan menipu cukai," katanya kepada pemberita selepas sesi penjelasan CBP dan Bajet 2015 serta isu semasa kepada kira-kira 600 warga Polis Diraja Malaysia Kontinjen Johor, pada Rabu.

Ahmad berkata angka 30 peratus ekonomi terselindung itu yang didasarkan kepada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara setiap tahun, dikeluarkan oleh Bank Dunia. 

Katanya sehingga Selasa, sebanyak 319,435 syarikat telah mendaftar bagi pelaksanaan CBP yang dianggar dapat menambah pendapatan negara sebanyak RM1bilion kepada RM24 bilion.

Beliau juga berkata prinsip pelaksanaan CBP ialah lebih tinggi pendapatan lebih tinggi cukai yang perlu dijelaskan oleh pihak berkenaan.

"Mereka yang kurang pendapatannya akan dikenakan cukai yang kurang. CBP progresif ini ialah CBP Malaysia," katanya dan mengulangi banyak barangan dikecualikan CBP seperti barangan makanan dan minuman.

Ahmad juga berkata program penjelasan CBP akan diteruskan sehingga Mei atau Jun ini bagi memastikan rakyat benar-benar memahami CBP memandangkan banyak maklumat diputarbelitkan oleh pihak yang menentang pelaksanaan sistem cukai baharu itu.

CBP akan dilaksana pada kadar enam peratus berbanding SST yang berkadar keseluruhan 16 peratus.

Artikel Sebelum

Remaja hilang bot terbalik

Artikel Lain