suria

Tiga Rakyat Malaysia Sertai Pasukan Antarabangsa Periksa Bangkai Pesawat MH17

Beberapa lori yang membawa bangkai bahagian pesawat MH17 di pangkalan udara Gilze-Rijen, Foto EPA

PETALING JAYA: Sebuah pasukan antarabangsa, yang turut melibatkan tiga rakyat Malaysia, menjalankan pemeriksaan terhadap fiuslaj (badan kapal terbang) bagi pesawat MH17 di Pangkalan Tentera Udara Belanda.

Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata, anggota penyiasat rakyat Malaysia terdiri daripada wakil DCA, Kementerian Pengangkutan dan Penerbangan Malaysia (MAS).

"Mereka merupakan sebahagian daripada pasukan penyiasatan teknikal dan keselamatan (bukan penyiasatan jenayah) dan mereka tiba di Amsterdam pada minggu lalu," katanya kepada The Star.

Beliau berkata, ketiga-tiga mereka menyertai beberapa mesyuarat dengan rakan sejawat mereka selain membuat pemeriksaan terhadap bangkai pesawat itu.

"Kita sedang menunggu laporan awal mereka," tambahnya.

Pesawat MH17 dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur yang membawa 298 penumpang dan anak kapal, ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai tahun lalu.

Bangkai pesawat yang ditemui telah dibawa ke pangkalan udara Gilze-Rijen di selatan Belanda.

Lembaga Keselamatan Belanda pada Jumaat lalu berkata, pasukan penyiasat penerbangan antarabangsa yang menyiasat punca nahas itu, telah mengadakan satu mesyuarat penyiasatan di Gilze-Rijen.

"Mereka telah mengadakan beberapa penyiasatan terhadap bangkai pesawat itu pada minggu lalu, termasuk melibatkan mekanisme kegagalan dan corak kesannya," kata lembaga itu.

Mesyuarat itu merupakan sebahagian daripada prosedur yang ditetapkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Lembaga itu berkata, persediaan akan dilakukan untuk waris mangsa bagi melihat bangkai pesawat yang ditemui pada awal Mac.

Artikel Sebelum

Artikel Lain