suria

Guan Eng Gesa Kerajaan Persekutuan Tidak Naikkan Tambang Feri

GEORGE TOWN: Pulau Pinang menggesa kerajaan Persekutuan supaya tidak menaikkan kadar tambang feri.

Ketua Menterinya, Lim Guan Eng berkata pengumuman mengenai kenaikan tambang itu dibuat oleh Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) hanya beberapa hari sebelum sambutan Tahun Baru Cina.

"Kadar tambang baharu yang dicadangkan tidak mempunyai justifikasi dan kami berharap kerajaan Persekutuan tidak akan melaksanakan rancangan itu," katanya selepas mengadakan rumah terbuka Tahun Baru Cina di Subterranean Pusat Konvensyen Antarabangsa Pulau Pinang (Spice), Khamis.

Beliau menambah, kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan perlu diperbaiki, bukannya dinaikkan kadar tambangnya.

SPPP pada Selasa mengeluarkan risalah yang menyatakan hasrat untuk menaikkan tambang bagi perkhidmatan feri.

Risalah itu telah dilihat ditampal di terminal feri di George Town dan Butterworth. Berita mengenai cadangan tambang itu kemudian menjadi viral di media sosial.

SPPP bercadang untuk mengkaji semula tambang feri dengan kenaikan antara 10 sen dan RM20.

Menurut cadangan itu, tambang motosikal akan dinaikkan dari RM2 kepada RM3.50, dari RM7.70 kepada RM9 untuk kereta, pejalan kaki dari RM1.20 kepada RM2 dan basikal daripada RM1.40 kepada RM1.50.

Tiket bermusim bagi pelajar akan dinaikkan kepada RM6 dari RM3 dan dari RM30 kepada RM50 bagi orang dewasa.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain