suria

'Bakal Suami' Pengaruh Pelajar 14 Tahun Sertai IS

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun yang ditahan polis Selasa lepas kerana dikatakan cuba menyertai jihad kumpulan militan IS di Syria dipercayai dipengaruhi 'bakal suaminya'.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Bernama di sini, pada Khamis berkata lelaki berkenaan merupakan anggota kumpulan militan IS di Syria.

"Hasil siasatan terhadap pelajar itu mendapati tiket penerbangan dan kos perjalanan suspek ke negara itu turut ditampung lelaki yang didakwa sebagai bakal suaminya.

"Kemungkinan juga cerita untuk berkahwin daripada suspek itu hanya rekaan sahaja," katanya.

Pelajar pengajian agama di sebuah institut tahfiz di Shah Alam, Selangor ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana telah membuat persiapan untuk perjalanan ke Syria menerusi Mesir.

Suspek dipercayai merancang untuk berkahwin dengan seorang rakyat Malaysia yang melanjutkan pengajian di Mesir sebelum menyusup masuk ke Syria bagi menyertai kumpulan pengganas itu.

Pelajar yang berasal dari Muar, Johor itu dipercayai terpengaruh untuk menyertai kumpulan militan di Syria selepas berinteraksi melalui Facebook dengan dua individu yang cuba mempengaruhi suspek menyertai kumpulan pengganas di negara itu.

IS, Polis

Artikel Lain