suria

Mahmud Abu Bekir Nafi Gagal Laksana Tanggungjawab

Mahmud Abu Bekir

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Tun Abdul Taib menafikan dakwaan bekas isterinya Shahnaz Abdul Majid bahawa beliau gagal menjalankan tanggungjawab selama 10 tahun perkahwinan mereka.

Mahmud Abu Bekir turut menafikan bahawa tindakannya yang mula tinggal berasingan dengan Shahnaz menjadi punca Shahnaz hilang keupayaan menambah zuriat.

Katanya, beliau tidak berniat melukakan hati bekas isterinya itu, malah pernah memberitahu Shahnaz bahawa beliau tidak mempunyai masalah sekiranya Shahnaz ingin bercerai (dalam tempoh 10 tahun itu).

"Saya telah bincang perkara ini, kalau beliau hendak bercerai saya tiada masalah untuk benarkan tetapi dia tidak mahu bercerai.

"Saya tiada niat untuk seksa dia (Shahnaz) malah beberapa kali saya bertanyakan perkara ini (cerai) kepada dia (Shahnaz). Perkara ini dah lama," kata Mahmud Abu Bekir dalam perbicaraan kes tuntutan mutaah berjumlah RM100 juta yang difailkan Shahnaz.

Pada 11 Mei 2011, Mahkamah Tinggi Syariah mengesahkan perceraian talak satu antara Mahmud Abu Bekir dengan Shahnaz yang berkahwin pada 9 Januari 1992 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Raden Murya, 22.

Ditanya peguam Akhbardin Abdul Kader, yang mewakili Shahnaz, adakah beliau tahu sama ada bekas isterinya itu masih berstatus ibu tunggal selepas diceraikannya pada 2011 atau telah berkahwin lain, Mahmud Abu Bekir berkata, "Tidak tahu."

Bagaimanapun, ahli perniagaan itu bersetuju atas cadangan peguam itu bahawa selepas mereka bercerai, adalah sukar Shahnaz menambah zuriat sekiranya berkahwin lain ekoran faktor usia Shahnaz ketika itu (berusia 42 tahun).

Anak sulung Yang Dipertua Negeri Sarawak itu turut menafikan bahawa tindakan beliau membawa isteri baharunya ke majlis perkahwinan adik perempuannya pada 2000 di sebuah hotel di Kuching bertujuan mengaib dan memalukan Shahnaz serta keluarga mentuanya.

"Saya hanya nampak kehadiran Shahnaz dan anak tunggal lelaki kami, Raden Murya dalam majlis itu tetapi bukan keluarga mentua," katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Syarie Muhamad Abdul Karim Wahab bersambung 27 April dengan sambungan keterangan Mahmud Abu Bekir.

Artikel Lain