suria

MERS-CoV: Agensi Pelancongan Diminta Henti Lawatan Ke Ladang Unta

PUTRAJAYA: Semua agensi pelancongan di negara ini diminta menghentikan segera pakej umrah dengan lawatan ke ladang unta berikutan jangkitan Sindrom Pernafasan Koronavirus Timur Tengah (MERS-CoV).

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman berkata, program lawatan ke ladang unta boleh mendatangkan risiko jangkitan MERS-CoV kepada jemaah umrah, jemaah haji atau pelawat.

Katanya, sikap segelintir agensi pelancongan yang tidak mematuhi nasihat dan garis panduan ditetapkan serta memandang ringan risiko jangkitan MERS-CoV amat mengecewakan.

"Sekiranya berlaku jangkitan, pihak agensi pelancongan terbabit mesti kerana tidak mematuhi nasihat atau garis panduan yang ditetapkan sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, Rabu.

Beliau berkata demikian susulan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 16 Februari lalu yang menyatakan terdapat 983 kes jangkitan MERS-CoV dilaporkan di seluruh dunia membabitkan 360 kematian.

Dr Lokman Hakim berkata, laporan itu menunjukkan bahawa jangkitan MERS-CoV masih berlaku dan belum ada sebarang vaksin untuk memberi perlindungan daripada jangkitan selain tiada ubat khusus untuk merawatnya.

Beliau berkata, memandangkan rakyat Malaysia kerap ke Tanah Suci sama ada untuk mengerjakan ibadah umrah atau haji, maka jemaah dinasihati agar sentiasa mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan terutama selepas batuk, bersin atau selepas bersalaman.

Selain itu, semasa dalam tempoh lawatan jemaah disaran sentiasa membawa penutup mulut dan hidung serta pencuci tangan untuk digunakan ketika perlu.

"Elakkan menjamah makanan mentah atu tidak dimasak dengan sepenuhnya, menjamah buah-buahan dan sayuran yang tidak dibasuh terlebih dahulu atau meminum minuman menggunakan bekalan air tidak dirawat.

"Semasa dalam lawatan elakkan melawat ladang-ladang haiwan terutama ladang unta, memakan daging unta, meminum susu unta atau menjamah sebarang hasil daripada unta," kata Dr Lokman.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa memantau situasi jangkitan MERS-CoV dan mempertingkat langkah-langkah kesiapsiagaan dan pencegahan bagi menghadapi jangkitan penyakit itu di negara ini.

"Agensi-agensi pelancongan dan pihak Lembaga Tabung Haji diminta mematuhi saranan Kementerian Kesihatan bagi memastikan jangkitan MERS-CoV dalam kalangan jemaah umrah, jemaah haji dan pelawat dapat dicegah," katanya.






MERS-CoV, unta, Lokman Hakim Sulaiman

Artikel Lain