suria

22 Perkhidmatan ETS KL-Ipoh Sempena Tahun Baharu Cina

KUALA LUMPUR: Bersempena perayaan Tahun Baharu Cina, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah menambah Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) kepada 22 perjalanan sehari bagi sektor Kuala Lumpur-Ipoh-Kuala Lumpur pada tiga hari puncak.

Peningkatan dua perjalanan tambahan itu telah disediakan Jumaat lepas (13 Februari) untuk penumpang yang pulang awal ke kampung halaman, pada hari ini di ambang Tahun Baharu Cina dan pada Ahad ini (22 Februari) bagi menampung bilangan penumpang yang akan kembali ke Kuala Lumpur.

Pemangku Pengurus Besar KTMB Antara Bandar, Khair Johari Ishak berkata perjalanan tambahan yang disediakan itu meliputi 11 perjalanan dari KL Sentral-Ipoh dan 11 perjalanan lagi dari Ipoh-KL Sentral.

"Sebanyak 20 perjalanan disediakan pada hari minggu manakala 16 perjalanan lagi pada hari biasa di sektor Kuala Lumpur-Ipoh-Kuala Lumpur," katanya kepada pemberita selepas mengedarkan 2,000 pek cenderahati kepada penumpang sempena perayaan Tahun Baharu Cina, di sini, Rabu.

Sementara itu, bagi perkhidmatan Tren Antarabandar, pihaknya menambah dua gerabak bermula 13 Februari hingga Ahad ini, melalui sektor Kuala Lumpur-Singapura dan Singapura-Butterworth.

"Jadual perjalanan masih sama iaitu waktu paling awal bermula 8 pagi bagi sektor Kuala Lumpur-Singapura dan 8.30 pagi bagi sektor Singapura-Butterworth.

"Ia untuk memudahkan perjalanan orang ramai yang akan meraikan perayaan Tahun Baharu Cina bermula esok," katanya.

Terdahulu pada majlis pengedaran pek cenderahati itu, sejumlah 2,000 bungkusan berisi limau mandarin, air kotak dan cawan, diedarkan kepada penumpang KTMB Antarabandar, ETS dan Komuter.

Khair Johari berkata kira-kira 92,000 daripada 120,000 tiket tren telah habis dijual bagi perkhidmatan ETS dan Antarabandar untuk perjalanan dalam tempoh Ahad lepas (15 Februari) hingga Ahad ini (22 Februari).

ETS, Tahun Baharu Cina, Ipoh

Artikel Lain