suria

MH17: PBB Ulangi Desakan Kebertanggungjawapan Bagi Penembakan Pesawat

KUALA LUMPUR: Draf resolusi terbaharu Majlis Keselamatan mengenai keadaan di Ukraine mengulangi penegasan mendesak kebertanggungjawaban  pihak-pihak yang bertanggungjawab terhadap penembakan pesawat MH17.

Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Datuk Hussein Haniff berkata, Malaysia dan beberapa negara mengalu-alukan penerimaan untuk  melaksanakan peraturan gencatan senjata (Resolusi 2202) mengenai situasi di Ukraine.

Penerimaan resolusi ini akan menzahirkan sokongan kuat Majlis Keselamatan dan masyarakat antarabangsa terhadap langkah-angkah yang diambil oleh pihak-pihak terbabit untuk melaksanakan urusan gencatan senjata yang dipersetujui pada 12 Februari.

"Perkembangan terbaru di timur Ukraine membuktikan bahawa penyelesaian secara diplomatik dan politik adalah lebih mendesak berbanding sebelumnya," kata beliau dalam kenyataan mengenai penerimaan draf resolusi Majlis Keselamatan mengenai keadaan di Ukraine di PBB.

Kenyataan itu dibuat bagi pihak delegasi Malaysia, Australia, Belgium, Kanada, Indonesia, Belanda, New Zealand, dan Filipina.

Hussein berkata, konflik di timur Ukraine telah berlarutan terlalu lama dan mengorbankan terlalu banyak nyawa orang awam yang tidak berdosa termasuk 298 penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur yang ditembak jatuh di kawasan konflik pada 17 Julai 2014.

Mengenai perkara lain, beliau berkata, Malaysia percaya operasi pengaman PBB  tetap menjadi instrumen yang berkesan untuk menjamin kestabilan selaras dengan keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Beliau berkata, dalam tempoh 70 tahun selepas penubuhan PBB, misi pengaman mendapat permintaan yang tinggi lebih daripada biasa.

Oleh itu, usaha memodenkan peralatan pasukan pengaman adalah penting dan perlu bagi memastikan keberkesanan operasi.

"Kami memuji usaha berterusan pihak Sekretariat untuk memanfaatkan penggunaan teknologi moden dalam operasi pengaman dan menggalakkan DPKO (Jabatan Operasi Pengaman) untuk terus mengkaji peluang-peluang bagi menggunakannya dalam semua operasi," katanya dalam satu kenyataan pada Perbahasan Umum Sesi Substantif Jawatankuasa Khas mengenai Operasi Pengaman 2015 di Ibu pejabat PBB,  New York.

Dalam pada itu, dalam kenyataan yang dihantar ke sini, Rabu, Hussein berkata, melindungi orang awam adalah satu daripada misi penting dalam menjaga keamanan kerana 10 daripada 16 misi pengaman diberi mandat untuk melaksanakan tanggungjawab itu.

Justeru, beliau berkata, Malaysia percaya bahawa usaha harus dijalankan untuk memasukkan elemen-elemen penting mengenai sensitiviti agama dan budaya masyarakat tempatan dalam modul latihan bersama bagi anggota pasukan pengaman PBB.

PBB, MH17, Ukraine

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain