suria

Khalid Nafi Ada Ketua Polis Negeri Disiasat Kes Rasuah

Khalid Abu Bakar

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menafikan beberapa ketua polis negeri sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pelakuan rasuah seperti yang dilaporkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris Rabu.

"Apa yang saya sebut kepada pemberita semalam ialah semua pegawai kanan polis termasuk saya sendiri boleh disiasat oleh SPRM dan saya tidak pernah mengesahkan beberapa ketua polis negeri kini disiasat SPRM berkaitan kes rasuah," katanya.

Beliau berkata mungkin pemberita berkenaan salah faham tentang apa yang telah disampaikan.

"Dan diharap mereka segera membetulkan berita tersebut," katanya dalam  sidang media selepas melancarkan Kempen Balik Kampung Ops Selamat 6/2015 sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Jalan Duta di sini, Rabu.

Khalid berkata, sekiranya terdapat pelakuan rasuah membabitkan ketua polis negeri, beliau sendiri akan mengambil tindakan memandangkan golongan itu memikul tugas yang penting.

"Sekali lagi saya tegaskan bahawa sehingga hari ini belum terdapat kes rasuah melibatkan ketua polis negeri," katanya.

Khalid Abu Bakar, SPRM, polis

Artikel Lain