suria

LHDN Arah Majikan Potong Gaji Tambahan Jika PCB Kurang

PETALING JAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan mengeluarkan arahan potongan gaji tambahan menerusi Borang CP38 kepada majikan jika kadar Potongan Cukai Bulanan (PCB) pekerja didapati tidak mencapai jumlah yang sepatutnya.

Pegawai Perkhidmatan Pelanggan, Jabatan Khidmat Korporat LHDN, Masrun Maslim berkata, mengikut arahan itu, majikan dikehendaki membuat potongan untuk amaun tertentu secara bulanan bagi menyelesaikan cukai tertunggak di akaun cukai pendapatan pekerja.

"Kes seperti ini memang ada, kita akan keluarkan Arahan CP38 terhadap majikan. Pekerja (pembayar cukai) juga perlu membuat bayaran ansuran bagi cukai yang tertunggak dan pada masa sama pemotongan PCB tetap akan dilakukan setiap bulan," katanya.

Beliau juga tidak menafikan, pembayar cukai akan terasa bebannya jika arahan tersebut dikeluarkan.

"Kalau pembayar cukai ada wang tunai banyak mungkin tiada masalah bagi mereka dalam menyelesaikan tunggakan tersebut, tetapi jika sebaliknya tentu ia akan beri masalah kepada mereka," katanya.

Justeru, beliau mengingatkan pembayar cukai di kalangan pekerja 'makan gaji' supaya lebih peka dan tahu jumlah PCB yang dipotong majikan setiap bulan untuk mengelak kes tunggakan cukai.

"Mengikut sistem taksir sendiri, pekerja kena lebih peka dan pastikan majikan potong amaun PCB yang betul. Pastikan hak anda tidak dimanipulasi," katanya.

Berdasarkan laporan tahunan LHDN bagi tahun taksiran 2013, direkodkan sebanyak 20 peratus atau 12,479 kes daripada 62,717 kes yang diaudit membabitkan majikan tidak patuh arahan PCB.

Bagi 2012 pula, sebanyak 17 peratus majikan tidak patuh arahan PCB selepas audit cukai dilaksanakan.

Menurut laporan tersebut, kutipan dari cukai yang kurang dipotong menurun sebanyak 11.29 peratus daripada RM66.98 juta kepada RM59.42 juta pada 2013.

Manakala, kompaun yang dikenakan pula meningkat sebanyak 12.20 peratus daripada RM7.13 juta (2012) kepada RM8 juta pada 2013.

Mengulas lanjut mengenai pengurangan PCB oleh majikan, Masrun berkata, sekiranya jelas bahawa kesalahan di pihak majikan, maka LHDN akan mengambil tindakan.

"Dalam isu ini ,pembayar cukai juga kena main peranan. Jika didapati PCB kurang, mereka kena isi borang (Borang BE). Kalau tak isytihar ia akan jadi kesalahan apabila LHDN jalankan audit nanti," katanya.

Berdasarkan laporan tahunan agensi kerajaan ini pada 2013, sebanyak 1,505 majikan didakwa di mahkamah membabitkan kes tidak patuh arahan PCB.





 


PCB, LHDN

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain