suria

BN Tidak Ingin Ambil Alih MIC - Ku Nan

KUALA LUMPUR: Pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) tidak berminat untuk mengambil alih kepimpinan MIC yang sedang berhadapan dengan krisis dalaman.

Sebaliknya Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, cadangan yang dikemukakan oleh pucuk pimpinan BN pada Isnin hanya untuk membantu MIC menyelesaikan masalah dalaman mereka.

"Kita (BN) hanya memberi cadangan namun terpulang kepada MIC sama ada untuk mengguna pakai cadangan tersebut atau tidak. Kita hanya memudahkan mereka. 

"Kita tidak ada niat hendak campur tangan. Apa yang kita harapkan mereka akur kepada arahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS)," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan lesen premis kepada pengusaha hotel bajet di Kuala Lumpur di Menara Dewan Bandar Raya  Kuala Lumpur pada Selasa.

Mengulas lanjut, Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata sebagai Setiausaha Agung BN beliau berharap agar semua parti komponen akur kepada undang-undang.

"Jangan salah anggap, BN tidak ada niat untuk ambil alih MIC. MIC boleh berjalan seperti biasa. Apa yang kita hendak bantu ialah mereka memperlicinkan mesyuarat kerana ada kumpulan-kumpulan tertentu yang tidak bersetuju," katanya. 

Justeru, Ahli Parlimen Putrajaya itu berkata sekiranya Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel tidak bersetuju untuk mengikuti cadangan yang telah dikemukakan terpulang kepada mereka untuk memikirkan jalan penyelesaian terbaik untuk mengatasi krisis dalaman parti berkenaan. 

"Cadangan kita hanya untuk memudahkan kedua-dua belah pihak. Dalam pertemuan 4 Februari lalu, kita telah bersetuju agar MIC menggunapakai keputusan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) pada 2009. 

"Saya tak tahu kenapa Palanivel tidak bersetuju pula sekarang ini. Selepas itu saya tidak tahu apa jadi, apabila beliau pecat Setiausaha Agung, Bendahari dan Ketua Penerangan sebelum ini dan melantik dengan calon baharu," katanya. 

Menurutnya, beliau sudah tidak mahu komen lanjut sebaliknya menyerahkan perkara tersebut kepada pucuk pimpinan MIC untuk menyelesaikan krisis dalaman mereka sendiri. 

"Saya hanya kemukakan cadangan, kalau dia (Palanivel) tak mahu, terpulang kepada mereka (MIC). Kalau tak nak mereka (MIC) kena akur kepada tuntutan ROS. 

"Kita dah jumpa dua kali, tapi keadaan jadi semakin rumit dan kusut. Semalam (Isnin) jumpa jadi benda lain pulak...jadi isu politik.. satu pihak lagi tuduh Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr Subramaniam, ingin jual parti. Tidak timbul kerana Subramaniam hanya mendengar cadangan yang diberikan dan berjanji untuk sampaikan kepada Presiden," katanya.  

Oleh itu, beliau berkata terpulang kepada ROS untuk mengambil tindakan selanjutnya terhadap MIC sekiranya parti itu masih enggan mengadakan pemilihan semula dalam tempoh yang ditetapkan.  

"Terpulang kepada ROS untuk ambil tindakan. Pemimpin MIC masih ingin buat kenyataan akhbar. 

"Masalah dalaman harus diselesaikan secara perbincangan tertutup, kenapa perlu dedahkannya kepada pengetahuan umum," katanya. 

Pada Isnin, Subramaniam telah mengadakan pertemuan tertutup dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pejabat Perdana Menteri. 

Bagaimanapun pertemuan itu tidak dihadiri Palanivel yang Menteri Sumber Asli, dengan memberikan alasan beliau terpaksa menguruskan masalah kesihatan isterinya dan menghantar wakil iaitu ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC, Datuk S Sothinathan.

Ketika mengumumkan keputusan yang telah dipersetujui daripada mesyuarat itu, Tengku Adnan berkata BN akan membentuk sekretariat untuk campur tangan bagi mengelak kemelut dalaman MIC berlarutan.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan perjalanan MIC lancar sehingga pemilihan semula, selain membantu mengatasi masalah cawangan yang diisytiharkan tidak sah oleh ROS.

Bagaimanapun, kata Tengku Adnan, BN masih menunggu maklum balas Palanivel berhubung perkara itu.

Susulan itu, Palanivel mengeluarkan kenyataan dengan nada tegas memaklumkan bahawa beliau tidak bersedia untuk membiarkan pihak ketiga iaitu BN untuk mengambil alih MIC.

Pada 5 Disember lalu, ROS mengarahkan MIC supaya melaksanakan pemilihan semula untuk tiga jawatan naib presiden dan 24 CWC selepas memutuskan keputusan pemilihan parti pada 2013 tidak sah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kemudiannya mengumumkan bahawa MIC perlu melaksanakan pemilihan semula itu antara April dan Julai ini untuk menangani krisis yang dihadapi dan mengelak parti itu daripada didaftarkan semula.

Bagaimanapun, Palanivel mendesak ROS menarik balik arahan itu sebelum Selasa ini dan jika gagal pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang.

MIC, BN

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain