suria

Bersumpah Umpama Abu Jahal - Rafizi

Rafizi Ramli.

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menyifatkan kesediaan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bersumpah di masjid atau depan Kaabah di Makkah untuk membuktikan Datuk Seri Anwar Ibrahim benar-benar bersalah umpama Abu Jahal.

"Perkara sumpah ini apabila kita tengok balik sirah,  orang yang suka menilik nasib dan bersumpah ini adalah Abu Jahal yang suka bersumpah di hadapan Kaabah," katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Komuniti Ahli Parlimen Lembah Pantai di sini, Isnin.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan hak peguam kanan pasukan pendakwaan kes liwat II itu untuk berbuat demikian tetapi membiarkan rakyat untuk menilai tindakan tersebut.

"Terpulang kepada beliau tapi saya rasa rakyat celik mata tahu nas-nas agama. Biar rakyat sendiri nilai apakah perlakuan bersumpah selaras dengan agama Islam," katanya.

Muhammad Shafee menerusi temu bual bersama Mingguan Malaysia pada Ahad dilaporkan berkata, beliau menafikan menganiayai Anwar semasa mengemukakan petisyen rayuan supaya Penasihat PKR itu disabitkan hukuman mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan 3 tahun lalu.

"Kalaulah saya aniaya Anwar, tidak payah tunggu saya mati masuk neraka. Di sini, di dunia saya dah masuk neraka. Kalau tidak jadi kepada saya, mungkin jadi kepada anak atau keluarga saya.

"Saya berani bersumpah di masjid atau di Mekah bahawa apabila saya buat rayuan kes ini, saya dengan jujur percaya Anwar salah," katanya seperti dipetik dari Mingguan Malaysia pada Ahad.

Menurut Rafizi berkata, PKR dan Anwar sendiri mengelak angkat sumpah selepas mendengar nasihat dan pandangan golongan ulama.

"Sumpah ini tidak masuk dalam syariat Islam, sebab itu dari awal lagi apabila soal sumpah ini dibawa, Keadilan (PKR) dan Datuk Seri (Anwar) dengan nasihat semua ulama mengelakkan sumpah," katanya.

Jelas beliau, angkat sumpah bukan sebahagian daripada amalan Islam dan sekiranya seseorang itu tidak takut pada Allah, dia boleh menyalahgunakan tindakan tersebut.

"Bila tengok sirah Rasulullah semula... apabila Saidatina Aisyah difitnah tak ada arahan suruh dia bersumpah. Jadi sumpah ini bukan sebahagian daripada amalan Islam," katanya.


Rafizi Ramli, PKR, Anwar Ibrahim

Artikel Berikut

Projek Kidex Batal - Azmin

Artikel Lain