suria

Ismail Sabri Harap Isu Boikot Selesai

Ismail Sabri Yaakob.
SUNGAI BULOH: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Jumaat berharap isu kenyataannya sebelum ini mengenai boikot peniaga sehingga menimbulkan sentimen perkauman selesai dan tidak seharusnya dipanjangkan lagi.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata, isu sekarang yang sepatutnya perlu diberikan tumpuan adalah menurun harga barang untuk kepentingan rakyat.

Menurutnya, kekesalannya itu merujuk kepada kenyataan kontroversi yang dikeluarkannya sebelum ini. 

"Saya dah beri kenyataan (semalam). Saya rasa saya, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Kabinet mahu perkara ini patut dilupakan.

"Lebih baik kita fokus kepada isu pokok iaitu penurunan harga barang. Lebih baik kita tumpukan hal yang menguntungkan rakyat.

"Saya harap perkara ini sudah selesai dan saya harap di pihak Datuk Seri Liow Tiong Lai pun sudah selesai. Tak perlu lagi kita panjangkan perkara ini," katanya pada sidang media selepas melancarkan Kempen Jihad Membasmi Orang Tengah dan Penurunan Harga Barang di Pasar Raya Syed di sini, Jumaat.

Turut hadir Pengerusi Eksekutif Pasar Raya Syed, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dan Ketua Ummo Bahagian Subang, Datuk Zein Isma Ismail.

Pada Khamis, Ismail Sabri berkata, beliau kesal dengan kenyataannya berhubung isu boikot peniaga telah menimbulkan sentimen perkauman.

Liow kemudiannya turut mengeluarkan kenyataan bahawa beliau menerima kenyataan yang dibuat oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu.

Ditanya mengenai kekeliruan apabila diedarkan kenyataan bersama beliau dan Liow, Ismail Sabri menjelaskan bahawa perkara tersebut hanya sekadar satu salah faham.

"Ada salah faham sebenarnya. Kita ingat nak buat kenyataan bersama tetapi akhirnya kita buat keputusan untuk kita buat sendiri-sendiri (secara berasingan)," katanya.

Terdahulu, timbul kekeliruan apabila kenyataan bersama beliau dan Liow bagi memaklumkan persetujuan kedua-dua pihak untuk menamatkan serta-merta isu berkenaan.

Bagaimanapun, Liow yang juga Presiden MCA menafikan beliau mengadakan perbincangan dengan Ismail Sabri berhubung perkara itu, sekali gus mempersoalkan bagaimana kenyataan bersama itu diedarkan kepada media.


Ismail Sabri Yaakob, boikot

Artikel Sebelum

Zunar Bebas Dengan Jaminan Polis

Artikel Berikut

Artikel Lain