suria

Kematian Marwan Bukan Penamat Aktiviti Keganasan - Pakar

Marwan disahkan maut dalam operasi anti-keganasan yang dilancarkan oleh komando polis Filipina.
PETALING JAYA: Kematian penjenayah warga Malaysia, Zulkifli Hir atau lebih dikenali sebagai Marwan tidak akan menamatkan aktiviti keganasan, kata pakar.

Biro Siasatan Persekutuan (FBI) mengesahkan kematian Marwan pada Rabu selepas sampel DNA yang dihantar oleh kerajaan Filipina sepadan dengan adiknya, Rahmat Abhir yang ditahan di Guantanamo Bay, Florida.

"Kematian Marwan tidak akan memberi kesan kepada kumpulan pengganas di rantau ini. Anggota lain yang dilatih dengan indoktrinasi bahawa mereka bersedia untuk mati demi agama. Jadi sekiranya anda mati, ada orang lain yang akan mengambil alih.

"Marwan masih diangkat sebagai idola dan contoh dikalangan kumpulan pengganas. Kepimpinan Marwan adalah berdasarkan kejayaan aktiviti yang dilaksanakannya dan ia mengangkatnya sebagai idola dalam kumpulan pengganas," kata penganalisis keselamatan, Prof Dr Aruna Gopinath.

Dr Aruna yang juga pakar dalam keselamatan maritim berkata, perkara paling menakutkan adalah kumpulan tersebut akan terus berkumpul semula walaupun seorang pemimpin mereka telah terbunuh.

"Mereka akan terus berkembang melainkan jika kerajaan mengambil langkah drastik ke atas kumpulan tersebut seperti apa yang dilakukan Jordan pada masa ini.

"Lebih teruk lagi, kita perlu meminta campur tangan tentera untuk menghalang kumpulan tersebut," katanya.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Ahmad El-Muhammady turut bersetuju kematian Marwan 'tidak bermakna keganasan sudah berkubur'.

"Beliau pakar dalam bidang membuat bom dan adalah normal baginya untuk menurunkan pengetahuan tersebut kepada generasi seterusnya kerana dia tahu nyawanya boleh terancam pada bila-bila masa sahaja.

"Agak sukar untuk mendapat kepakaran ini, dan kumpulan tersebut ingin mengekalkan pengetahuan tersebut, jadi dia telahpun melatih juniornya supaya ada kesinambungan dalam bidang tersebut," kata Ahmad.

Pada masa sama, Ahmad turut memuji operasi anti-keganasan pihak berkuasa Filipina.

"Kematian Marwan adalah satu kejayaan besar untuk komuniti yang menentang keganasan di rantau Asia Tenggara. Dan saya percaya serbuan itu berjaya walaupun ada beberapa anggota polis turut terkorban dalam operasi tersebut," katanya.


Marwan, pengganas

Artikel Berikut

Artikel Lain