suria

PM Arah Henti Kontroversi 'Boikot Peniaga Cina'

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan kontroversi berhubung gesaan memboikot perniagaan kaum Cina dihentikan segera.

Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri pada Rabu, Najib menegaskan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinannya komited untuk membela dan menjaga kepentingan semua kaum di negara ini.

"Oleh itu sebarang pertelingkahan yang boleh menuju kepada polarisasi kaum di negara ini tidak sepatutnya dipanjangkan kerana ia hanya akan membawa kemudaratan kepada kita semua," kata kenyataan itu.

Kenyataan Ismail di Facebook menerima reaksi negatif daripada masyarakat Cina.
Ahad lalu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menulis di laman Facebook dengan membuat gesaan supaya pengguna Melayu memboikot pernigaan kaum Cina.

Kenyataan kontroversinya itu menerima reaksi negatif daripada masyarakat Cina termasuk pimpinan MCA, Gerakan dan DAP.

Sehubungan itu isu berkenaan turut dibincangkan pada mesyuarat Kabinet pada Rabu.

"Kabinet telah dimaklumkan hari ini bahawa kenyataan di media sosail yang dibuat oleh Datuk Seri Ismail Sabri sebenarnya bertujuan menegur para peniaga yang enggan menurunkan harga barang walaupun harga minyak dan diesel telah turun.

"Teguran yang dibuat oleh beliau ditujukan kepada semua peniaga dan bukan kepada peniaga daripada kaum tertentu. Selain itu beliau juga mencadangkan agar pengguna menggunakan kuasa beli mereka untuk memaksa peniaga menurunkan harga barang," katanya.

Selain itu Kabinet turut menggesa supaya peniaga bersifat bertanggungjawab dan bertimbang rasa dalam menentukan harga barang dan perkhidmatan sejajar dengan penurunan harga minyak dan diesel agar pengguna merasa kesan penurunan harga tersebut.

"Selain itu pengguna hendaklah menjadi pengguna bijak dengan menggunakan kuasa mereka untuk mendorong para peniaga agar meletakkan harga yang berpatutan," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain