suria

Budak Lapan Tahun Maut Terbakar

KUANTAN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun maut manakala kakaknya parah dalam kebakaran di Kampung Jeram Batu, dekat Kuala Lipis awal pagi Rabu.

Mangsa, Nur Ain Nadirah Roslan, mati di tempat kejadian manakala kakaknya, Nur Masitah Roslan, 10, cedera parah akibat melecur di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Lipis Supt Abdul Razak Hassan berkata, dalam kejadian pukul 2 pagi itu, mangsa tidur bersama-sama dua kakaknya iaitu Rozitah, 13, dan Nur Masitah di dalam sebuah bilik di bahagian belakang rumah manakala ibu mereka, Noraini Sulaiman, 39, tidur di bilik berasingan.

"Kebakaran itu disedari bapanya, Roslan Abdul Rahman, 42, yang kebetulan tertidur di dalam van miliknya di hadapan rumah sebelum merempuh masuk memecahkan pintu untuk cuba menyelamatkan anggota keluarganya.

"Pada masa sama, Rozitah sempat menyelamatkan diri keluar daripada bilik itu manakala Nur Masitah sempat ditarik keluar ibu mereka.

"Ibu mereka kemudian cuba menarik keluar Nur Ain Nadirah tetapi gagal selepas terperangkap sebelum kayu dan tiang rumah jatuh menghempap mangsa," katanya.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Lipis untuk dibedah siasat dan jenazahnya selamat dikebumikan di Kampung Temau, Dong tengah hari Rabu.

Nur Masitah yang parah kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur, katanya.

Abdul Razak berkata pihak bomba sedang menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian.

Kebakaran, Kuantan, Bomba

Artikel Lain