suria

Dua Lelaki Ditahan Terlibat Curi Lembu

Gambar Hiasan

KUANTAN: Polis berjaya menahan dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes curi lembu di sekitar Rompin dan Bahau, Negeri Sembilan selepas mengejar mereka sehingga ke Kilometer 70 di Jalan Belimbing, Sri Jaya dekat Maran, Selasa.

Suspek ditahan oleh sepasukan polis daripada Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan diketuai Deputi Supritendan Mohd Zaidi Mat Zin semasa melakukan rondaan di sekitar bandar ini pada pukul 3.45 pagi.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, ketika melakukan rondaan di Jalan Pintasan Cenderawasih, di sini, anggota polis terserempak dengan sebuah kereta Proton Waja dinaiki dua lelaki berusia 23 dan 30 tahun dalam keadaan mencurigakan sebelum meminta mereka berhenti.

"Suspek yang panik melihat anggota polis bertindak memecut kereta ke arah Jalan Wong Ah Jang sebelum melarikan diri ke Gambang.

"Tindakan suspek itu menyebabkan polis terpaksa mengejar mereka dan suspek juga berani melanggar sekatan jalan raya di depan Balai Polis Gambang," katanya kepada Bernama, Rabu.

Beliau berkata, polis mengekori suspek hingga ke Sri Jaya sebelum kereta dinaiki mereka hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan.

Suspek cuba melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran namun tidak berhasil apabila anggota polis berjaya menangkap mereka, katanya.

Abdul Aziz berkata, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan suspek, polis menemui dua bilah pisau di bawah tempat duduk penumpang hadapan dan semakan lanjut mendapati kereta itu turut dilaporkan hilang sebelum ini.

Katanya, siasatan awal juga mendapati kedua-dua suspek terbabit dalam kegiatan curi lembu di Muadzam Shah, Rompin selain turut aktif di Jerantut dan Bahau, Negeri Sembilan.

"Modus operandi mereka adalah mencuri lembu milik penternak dan menyembelihnya sebelum menjual kepada peniaga di pasar. Setakat ini dipercayai mereka telah mencuri sekurang-kurangnya sepuluh ekor lembu," katanya.

Beliau berkata, suspek dibawa ke IPD Kuantan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 292 Akta Kesalahan Kecil kerana memiliki senjata bahaya.

Artikel Lain