suria

Cadangan Pilihan Raya PBT Bukan Lagi 'Modal' Bezakan Dasar Pakatan-BN

Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR: Cadangan untuk mengadakan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak boleh lagi dijadikan 'modal' oleh Pakatan Rakyat untuk membezakan dasar parti itu dengan Barisan Nasional (BN).

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata, pendirian PAS yang tidak bersetuju terhadap cadangan pilihan raya PBT diadakan menunjukkan bahawa gabungan parti itu tidak mempunyai satu pendirian yang sama.

Katanya, suatu ketika dulu pilihanraya PBT disebut sebagai satu perbezaan antara Pakatan dan BN.

"Kononnya kita tak memperjuangkan pilihan raya PBT. Tapi hari ini mereka tak boleh 'jual' ini sebagai satu cadangan dasar yang berbeza dengan BN kerana akhirnya, PAS pun tak setuju diadakan pilihan raya PBT.

"Kalau PAS tak setuju ia bukan jadi pendirian Pakatan, jadi isu ini sudah tak jadi modal kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Jawatankuasa Pemuda Umno di sini, Isnin.

Khairy berkata perbezaan pendapat dan pendirian itu akan menyebabkan rakyat tidak yakin terhadap Pakatan.

"Jelas bahawa Pakatan tak ada satu pendirian yang sama,  macam mana mereka nak yakinkan rakyat sedangkan satu daripada tiga parti dalam Pakatan sudah jelas kata tak boleh adakan pilihan raya PBT," katanya.


Artikel Lain