suria

Pemuda Umno Harap Masalah Dalaman Parti Diselesaikan Segera

Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno berharap isu kritikan terhadap kerajaan dan sebarang masalah dalaman Umno dapat diselesaikan segera dengan cara baik.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, pada masa ini, Umno perlu diperkuatkan dan masalah dalaman yang berlanjutan hanya akan melemahkan parti.

"Kita perlu kuatkan Umno, kita tak mahu lihat masalah dalaman yang boleh bagi beban kepada kita dan melemahkan Umno.

"Kita harap jika ada perselisihan pendapat di kalangan pemimpin dan di kalangan bekas pemimpin kita, seeloknya, ia dapat diselesaikan dengan cara terbaik dan cepat," katanya selepas mempengerusi mesyuarat Jawatankuasa Pergerakan Pemuda Umno di sini, Isnin.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, dalam hal itu Pemuda mengambil pendirian untuk terus memberikan taat setia dan sokongan pada kepada Perdana Menteri dan Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Bukan 'tempat' kita untuk beri nasihat, cuma harapan kita sebagai orang muda dan generasi muda dalam Umno supaya jangan kita timbulkan masalah dan polemik yang boleh melemahkan parti ," ujarnya.

Khairy mengulas mengenai tindakan bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin yang baru-baru ini mengkritik pentadbiran kerajaan di bawah pimpinan Najib secara terbuka tentang usaha menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi sehingga mengabaikan kedudukan ekonomi majoriti rakyat.

Daim juga, dalam satu temuramah bersama sebuah akhbar Cina berkata, Najib perlu lebih bijak dan patut belajar daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tentang cara pengurusan krisis, seperti banjir besar baru-baru ini.

Selain Daim, Dr Mahathir juga dilihat berbeza pandangan dan kerap mengkritik pentadbiran dan dasar-dasar kerajaan sejak akhir-akhir ini sambil tindakannya disokong beberapa bekas pemimpin negara yang lain.

Artikel Berikut

Artikel Lain