suria

Pengubahsuaian Bajet 2015: Perbelanjaan Mungkin Dikurangkan Sehingga RM15 Bilion

PETALING JAYA: Pengubahsuaian Bajet 2015, yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa, mungkin termasuk pemotongan belanja sehingga RM15 bilion.


Menurut ahli ekonomi, potongan tersebut mungkin membolehkan kerajaan berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran defisit sebanyak tiga peratus pada tahun ini, dengan cara yang paling optimistik berdasarkan keadaan.

Dekan dan ahli ekonomi Sekolah Perniagaan Universiti Sains dan Teknologi Malaysia  Dr Yeah Kim Leng memberitahu The Star bahawa beliau menganggarkan jumlah pemotongan belanja antara RM10 dan RM15 bilion boleh memberi kesan terhadap perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

"Sebahagian projek besar mungkin tertunda tetapi kerajaan boleh membuat keputusan untuk mengambil jalan keluar dengan pembiayaan sektor swasta," katanya.

"Pengurangan dalam perbelanjaan operasi perlu diutamakan - terutamanya perbelanjaan yang boleh dikurangkan tanpa menjejaskan kualiti perkhidmatan kerajaan," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan  berkata kerajaan harus mempertimbangkan pemotongan perbelanjaan dan memberi tumpuan kepada perbelanjaan pembangunan dan bukannya perbelanjaan operasi.

"Mereka harus mempertimbangkan untuk 'mengecilkan' kementerian-kementerian tertentu dan mengurangkan perbelanjaan mereka," katanya.

Tan Sri Ramon Navaratnam berkata projek-projek yang tidak produktif perlu diganti dengan sesuatu yang mampu menjana pendapatan tinggi.

Bekas ketua setiausaha Kementerian Pengangkutan itu berkata kerajaan perlu memberi fokus dan meluluskan program-program yang boleh menyumbang kepada produktiviti yang lebih tinggi dan juga peningkatan bekalan untuk negara.

Ramon mencadangkan supaya kerajaan melonggarkan dasar tertentu yang ketat untuk sementara waktu bagi menarik lebih ramai pelabur asing.

Artikel Berikut

Salahuddin Layak Ganti Hadi

Artikel Lain