suria

Penstrukturan Semula Bajet 2015: Umpama Pembentangan Di Kaki Lima - PAS

KUALA LUMPUR: PAS mempertikaikan tindakan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana tidak memanggil sidang khas Parlimen untuk membahaskan penstrukturan semula Bajet 2015.

Perkara itu dibangitkan susulan Perutusan Khas Perkembangan Ekonomi Semasa dan Kedudukan Kewangan Negara yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada pagi Selasa.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz berkata, perkara itu seharusnya dibentangkan di Parlimen dengan kehadiran semua Ahli Parlimen, sama seperti yang diadakan pada Oktober lalu.

"Saya rasa hari ini pembentangan di kaki lima. Sepatutnya beliau datang ke Parlimen," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS di sini, Selasa.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena turut mempertikaikan tindakan kerajaan mengetepikan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dalam perkara ini.

"Saya tengok ramai Ahli Parlimen Barisan Nasional dijemput tapi kami tidak dijemput. Saya tak minta dijemput untuk hadir tapi saya harapkan PM harus datang ke Parlimen melalui sidang khas untuk umumkan unjuran baharu," katanya.

Menerusi perutusan khas itu, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, rujukan Malaysia terhadap harga minyak mentah dunia sebanyak AS$100 (RM357) setong semasa pembentangan Bajet 2015  pada Oktober lalu tidak lagi realistik.

Beliau berkata,  penstrukturan semula Bajet 2015 dilakukan memandangkan harga minyak mentah ketika ini jatuh menjunam lebih 50 peratus, malah ahli-ahli ekonomi menganggarkan harga minyak mentah pada tahun ini antara AS$40 - AS$70 juta (RM143 - RM250 juta) setong.

Justeru katanya, kerajaan telah menyemak semula untuk merendahkan unjuran purata paras harga asas minyak kepada AS$55 (RM196) setong bagi tahun ini.

Bagaimanapun, Mahfuz menyambut baik keputusan kerajaan untuk menangguhkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada tahun ini sebagai langkah penjimatan sebanyak RM400 juta.

"Sejak awal lagi, kami merasakan PLKN sewajarnya dihentikan kerana ia membazirkan wang negara," katanya.

Beliau berkata, program itu sepatutnya diserapkan ke dalam silibus mata pelajaran sekolah menengah kerana ia bukan sahaja menjimatkan wang tetapi juga masa.


Artikel Sebelum

Nik Aziz Masuk ICU

Artikel Berikut

Artikel Lain