suria

SPAD Mula Siasatan Nahas Bas Persiaran

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dengan kerjasama beberapa agensi berkaitan akan memulakan siasatan terperinci berhubung kemalangan bas persiaran di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) awal pagi ini yang mengorbankan lapan nyawa.

SPAD, dalam kenyataan di sini pada Khamis, menyatakan suruhanjaya itu juga akan meneliti segala dokumen berkaitan pengurusan pemandu dan penyelenggaraan bas persiaran berkenaan.

Selain itu, SPAD bersama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memulakan siasatan terperinci berkaitan kemalangan itu.

"Di samping itu, audit keselamatan akan dijalankan ke atas operasi syarikat yang terlibat dalam kemalangan ini," menurut kenyataan itu.


Kemalangan dipercayai berlaku apabila bas persiaran itu yang membawa 30 penumpang dari Kuala Kurau dan Parit Buntar, Perak ke Genting Highlands, cuba mengelak sebuah tayar lori di tengah jalan sebelum terbabas ke dalam parit lalu terbakar di Kilometer 326.3 Lebuhraya PLUS arah selatan berhampiran Plaza Tol Tapah kira-kira 1.15 pagi tadi.

Setakat ini lapan orang termasuk pemandu bas berkenaan maut manakala 22 lagi cedera.

SPAD turut mengingatkan semua pengendali bas supaya sentiasa memberi penekanan serius dalam aspek keselamatan termasuk pimpinan pengurusan keselamatan, pengurusan kenderaan, pemandu, rekod dan risiko perjalanan bagi mengutamakan keselamatan dalam setiap perjalanan.

Suruhanjaya itu turut merakamkan takziah kepada keluarga mangsa terkorban dan penumpang yang cedera dalam kemalangan itu.

Sementara itu, anggota Majlis Keselamatan Jalan Raya Kebangsaan, Tan Sri Lee Lam Thye, mahu Kementerian Pengangkutan dan pihak berkuasa berkaitan melihat semula cadangan majlis itu dalam menangani pelbagai faktor menyumbang kepada kemalangan seperti faktor manusia, kejuruteraan jalan raya serta keadaan bas.

Beliau berkata, laporan yang bebas daripada panel keselamatan itu dibuat selepas tragedi bas di Genting Highlands pada Ogos 2013 yang mengorbankan 37 nyawa.

"Panel keselamatan bebas kami telah membuat lebih 50 cadangan kepada Kementerian Pengangkutan untuk menangani punca kemalangan traumatik itu bagi menjadikan jalan raya kita lebih selamat," katanya dalam satu kenyataan.

Lee berkata, cadangan yang dibuat dalam bentuk laporan itu perlu dikaji dan dilaksanakan demi kepentingan keselamatan jalan raya yang melibatkan semua bas.

Beliau berkata, kemalangan maut melibatkan bas di jalan raya dan lebuh raya tidak akan ada penamatnya jika pengajaran daripada tragedi yang berlaku sebelum ini serta cadangan-cadangan yang dikemukakan tidak dilaksanakan.
nahas bas persiaran, SPAD

Artikel Sebelum

Artikel Lain