suria

Cawangan Haram: Dua Bekas Pemimpin MIC Kemuka Bukti Kepada ROS

PUTRAJAYA: Gesaan bagi mengadakan pemilihan semula MIC berterusan dengan dua bekas pemimpin MIC mendakwa berlaku penipuan dalam penubuhan cawangan di lapan bahagian semasa pemilihan parti 2013.

Bekas bendahari agung Datuk R.Ramanan dan bekas ketua pemuda Datuk S.A Vigneswaran menyerahkan bukti kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) hari ini, untuk membantu siasatan berhubung dakwaan salah laku semasa pemilihan parti.

Mereka dilihat membawa beg berwarna hitam dan fail mengandungi dokumen mengenai dakwaan salah laku, dan surat aduan dari lapan bahagian mengenai penubuhan hampir 800 cawangan secara tidak sah semasa pemilihan tahun itu.

Ketika ditemui pemberita di pejabat ROS di sini, Vigneswaran berkata lapan bahagian terbabit ialah Sepang, Subang (dua bahagian), Hulu Selangor, Petaling Jaya Selatan, Seremban, Kuala Langat dan Serdang.
 
"Dokumen-dokumen ini untuk membuktikan kepada ROS bahawa dalam pemilihan MIC pada 2013, bukan sahaja berlaku banyak salah laku tetapi juga unsur-unsur penipuan yang jelas," kata beliau.

Pada 5 Disember, ROS mengisytiharkan sebagai terbatal dan tidak sah pemilihan bagi tiga jawatan naib presiden dan 23 jawatan anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) yang diadakan semasa perhimpunan agung parti pada November 2013.

ROS menasihatkan parti itu supaya mengadakan pemilihan semula dalam tempoh 90 hari.
cawangan haram MIC, ROS

Artikel Sebelum

Artikel Lain