suria

Tiga Lagi Suspek Militan IS Ditahan

PETALING JAYA: Polis menahan tiga individu yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita, berusia 25 hingga 30 tahun kerana disyaki merancang untuk menyertai kumpulan pengganas di Syria.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata kesemua suspek ditahan antara 7 Januari hingga hari ini, turut disyaki terbabit dalam merekrut dan menguruskan penghantaran tiga rakyat Malaysia ke Syria sebelum ini.

Katanya, ketiga suspek yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu adalah rakyat Malaysia yang diusir dari Australia kerana menyalahguna visa pelancong.

"Suspek pertama adalah bekas operator di sebuah kilang di Lembah Klang, suspek kedua berusia 29 tahun adalah bekas penyelia di sebuah kilang di Selangor.

"Suspek ketiga ialah isteri kepada salah seorang suspek berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.

Khalid berkata, kesemua mereka ditahan kerana melakukan kesalahan berkaitan keganasan mengikut Kanun Keseksaan (Akta 574) dan disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).

Artikel Lain