suria

Banjir: Rumah Serendah RM35,000 Tarik Minat Penderma

Projek Perumahan Rakyat Budiman bakal dilancarkan pada Selasa untuk meringankan beban rakyat Kelantan.

PETALING JAYA: Tawaran harga RM35,000 bagi membina rumah mangsa banjir di Kelantan membuka mata pelbagai pihak untuk menyumbang, terutama apabila ia dibandingkan dengan kediaman berstatus kos rendah yang pernah dibangunkan selama ini.

Rumah menerusi Projek Perumahan Rakyat Budiman (PPRB) yang berharga di antara RM35,000 hingga RM40,000 seunit itu akan dibina di tiga kawasan paling teruk dilanda banjir iaitu di sekitar Kuala Krai dan Gua Musang.

"Ketika ramai yang tertumpu untuk bina rumah sementara dan bantuan makanan, kontraktor dan perunding telah mencari penyelesaian kepada keperluan terdesak rakyat.

"Selepas berbincang, mereka (kontraktor dan perunding) tetapkan harga sambil buat kebajikan. Ambil untung sikit, tak macam biasa sebab niatnya untuk bantu mangsa banjir," katanya Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kayat kepada mStar Online, Isnin.



Rumah perintis di antara Jalan Kuala Krai-Gua Musang sedang dalam pembinaan.

Menurut beliau, sejak Tabung Kemanusiaan Pemuda dilancarkan pada 25 Disember lalu,  lima penderma bermurah hati menyalurkan wang untuk membina lima rumah kekal untuk mangsa yang kehilangan tempat tinggal akibat banjir.

Tanpa mahu mendedahkan identiti , beliau berkata, mereka terdiri daripada individu dan pertubuhan.


"Sambutan sangat menggalakkan. Sumbangan dimasukkan ke akaun bank dan ia akan diaudit setiap hujung bulan.

"Bila lihat kesusahan mangsa banjir, rakyat Malaysia mula mencari saluran yang difikirkan munasabah dan mereka bagi sumbangan, termasuklah kepada tabung kita," katanya sambil menambah tabung khas untuk banjir itu akan dibuka sehingga 30 Jun 2015.

Mengulas lanjut, beliau berkata, projek itu telah mendapat 'lampu hijau' daripada Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob di mana beliau bersetuju projek tersebut diselaraskan di bawah kerajaan negeri.

Majlis meletak batu asas rumah perintis projek itu akan dilakukan pada Selasa, di Kampung Temiang, jalan di antara Kuala Krai dan Gua Musang.

"Rumah perintis itu bernilai RM37,000. Kita letak anggaran RM35,000 hingga RM40,000 kerana kos mungkin berbeza mengikut keadaan...misalnya mungkin ada rumah yang kena bina tinggi sikit," jelasnya.



Mengenai kemungkinan timbulnya sebarang isu berbangkit, beliau berkata, setakat ini beliau tidak melihat akan timbul sebarang masalah kerana PPRB bukan projek besar.

"Kita bina rumah di atas tanah milik mangsa, di kawasan luar bandar, jadi tak terlibat atau mengganggu projek besar kerajaan," katanya.

Berdasarkan perancangan, kediaman yang akan dibina hasil sumbangan orang ramai ini berkeluasan 34 x 24 kaki persegi, tiga bilik tidur, bilik air, ruang tamu, dapur dan beranda.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa Pemuda PAS menyasarkan untuk membantu lima peratus daripada keseluruhan rumah rosak dan musnah yang dianggarkan kira-kira 3,000 buah.

Artikel Lain