suria

Pengusaha Bas Sekolah Dakwa Stesen Minyak Tak Terima Kad Fleet

Perkhidmatan bas sekolah kembali beroperasi apabila sesi persekolahan di sekitar Lembah Klang dan beberapa negeri lain dibuka semula pada Isnin.

PETALING JAYA: Belum pun selesai kemelut membabitkan tambang bas sekolah dan penamatan skim penggantian bas sekolah baru-baru ini, pengusaha perkhidmatan itu kini berhadapan masalah baharu apabila mendakwa sukar membeli petrol menggunakan kad fleet.

Malahan, ada yang mempersoalkan status kelayakan pengusaha bas sekolah untuk mendapat subsidi diesel.

Presiden Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPBSM) Amali Munif Rahmat berkata, beliau menerima banyak aduan daripada pengusaha mengenai stesen minyak terutamanya di sekitar Lembah Klang yang enggan menerima pembelian diesel subsidi menggunakan kad fleet tersebut.

"Saya terima banyak mesej daripada pengusaha bas sekolah yang bertanyakan mengenai perkara ini. Ia berlaku sejak beberapa bulan yang lalu tetapi tak sangka ia berterusan sehingga ke hari ini.

"Apabila nak beli diesel guna kad fleet mereka kata mesin tergendala tapi beli guna kad kredit boleh pula. Apa sebenarnya yang cuba dilakukan segelintir pengusaha stesen minyak ini?," katanya kepada mStar Online.

Beliau berkata, perkara itu menimbulkan seribu satu persoalan di kalangan pengusaha yang tertanya-tanya mengenai nasib mereka selepas beberapa isu melibatkan perkhidmatan tersebut masih lagi belum selesai.

"Mereka tanya betul ke kami (pengusaha) sudah tidak terima subsidi diesel lagi sebab beberapa stesen minyak enggan terima kad tersebut. Pengusaha stesen minyak berikan pelbagai alasan mengenainya," kata Amali Munif.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Alias Ahmad menegaskan skim subsidi petrol untuk kenderaan pengangkutan awam tidak terjejas di bawah sistem apungan terurus yang dilaksanakan pada Disember lalu.

Alias berkata harga diesel untuk kenderaan pengangkutan awam kekal pada harga RM1.88 seliter.

"Mereka adalah pemegang kad fleet dan dalam kumpulan 11 jenis kenderaan yang layak menerima skim subsidi diesel," kata Alias.

Susulan insiden itu, Amali Munif menggesa pihak penguasa KPDNKK untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengusaha stesen minyak yang didakwa sengaja berbuat demikian.

"Saya minta pihak penguasa KPDNKK mengambil tindakan dengan segera ke atas pengusaha stesen yang mengambil kesempatan untuk tidak menjual diesel pada harga subsidi kepada pengusaha bas sekolah," katanya.

Jelas beliau, tindakan tersebut sedikit sebanyak menjejaskan perkhidmatan bas sekolah yang mula beroperasi pada Isnin.

"Sudahlah banyak masalah sekarang timbul lagi masalah baharu. Ia sedikit sebanyak menjejaskan bas sekolah yang mula beroperasi pada Isnin," katanya.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan pengusaha bas supaya menghubungi talian hotline subsidi diesel di talian 03-88826388 sekiranya kad fleet mereka tidak boleh digunakan.

"Jika kad itu tidak dapat digunakan sila hubungi talian hotline KPDNKK untuk mendapatkan kepastian masalah tersebut," katanya.

Amali Munif berkata, walaupun harga runcit dieset berharga RM1.93 seliter, pengusaha bas sekolah masih menerima subsidi diesel sebanyak 4.9 sen (RM1.88 seliter).


kad fleet diesel, bas sekolah, KPDNKK

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain