suria

Semua Sekolah Di Johor Boleh Dibuka Ahad

JOHOR BAHRU: Kesemua 1,178 buah sekolah di Johor yang melibatkan 904 buah sekolah rendah dan 274 buah sekolah menengah boleh dibuka seperti biasa pada Ahad, walaupun terdapat beberapa kawasan masih dilanda banjir.

Pengarah Pendidikan Johor, Aminudin Adam berkata setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang maklumat mengenai sekolah yang dinaiki air dan berharap sesi persekolahan 2015 yang akan bermula Ahad di negeri ini berjalan lancar.

"Sebahagian kawasan yang terjejas akibat banjir di Segamat menjadikan balai raya sebagai pusat penempatan sementara, oleh itu, tiada sekolah di negeri ini yang dijadikan pusat pemindahan banjir ketika ini," katanya ketika dihubungi di sini, Sabtu.

Aminuddin berkata, memandangkan cuaca yang masih tidak menentu, pihaknya akan memantau perkembangan sehingga malam Sabtu bagi memastikan sama ada terdapat guru atau murid yang tidak dapat ke sekolah berikutan jalan yang dinaiki air. 

"Mana-mana guru atau murid yang mengalami masalah berkenaan banjir diminta memaklumkan situasi mereka," katanya.

Beliau berkata keseluruhannya, sebanyak 609,554 murid sekolah rendah dan menengah seluruh Johor akan bersekolah esok dengan 56,390 daripadanya merupakan murid Tahun Satu. 

Katanya, kemasukan ke Tingkatan Satu pula melibatkan 50,538 pelajar manakala 4,930 orang lagi memasuki kelas peralihan.

Artikel Lain