suria

Mangsa Banjir Di Pahang, Perak, Johor Terus Menurun Malam Sabtu

Penduduk Kampung Lamir Mohd Zuraimi Daud,30, membawa anaknya Mohammad Zharief Asyraff,4, meniti titian sempit yang dibuat khas untuk ke jalan besar selepas kampungnya dilanda banjir besar di Pekan, Sabtu. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir semakin pulih apabila jumlah mangsa yang berada di pusat pemindahan di Pahang, Perak dan Kelantan terus menunjukkan penurunan malam ini manakala di Johor kekal seperti yang direkodkan petang Sabtu.

Keadaan ini menjadikan jumlah keseluruhan mangsa banjir di kesemua pusat pemindahan adalah sebanyak 12,971 orang berbanding 15,078 orang pada sebelah petang. 

Di PAHANG, jumlah mangsa di enam daerah yang terlibat terus menurun kepada 7,807 orang berbanding 9,845 orang petang Sabtu.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, 43 pusat pemindahan masih dibuka dengan Pekan menempatkan mangsa paling ramai iaitu sebanyak 4,855 orang diikuti Maran (1,372 orang), Kuantan (888 orang), Temerloh (383 orang), Rompin (262 orang) dan Bera (47 orang).

Di PERAK, jumlah mangsa banjir menurun kepada 2,735 orang berbanding 2,798 mangsa petang Sabtu.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak berkata sebanyak 15 pusat pemindahan kini dibuka menempatkan 732 keluarga di Hulu Perak, Perak Tengah, Manjung dan Hilir Perak.

Jumlah mangsa banjir di Perak Tengah kini sebanyak 2,000 orang, Hilir Perak (472 orang), Manjung (155 orang) dan Hulu Perak (108 orang).

Di KELANTAN, jumlah mangsa menurun sedikit kepada 2,366 orang berbanding 2,372 orang pada sebelah petang.

Menurut MKN Kelantan, sehingga kini 27 pusat pemindahan masih dibuka iaitu di Gua Musang dengan 1,157 orang, Kuala Krai (1,016 orang), Machang (100 orang) dan Tanah Merah (93 orang).

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di JOHOR kekal 63 orang seperti yang direkodkan petang Sabtu.

Artikel Berikut

Artikel Lain