suria

Polis Gagalkan Cubaan Seludup 53 Kg Daun Ketum Ke Thailand

Hasil rampasan pelbagai produk daripada daun ketum yang dalam proses diseludup ke Thailand, Jumaat.

JITRA: Polis menggagalkan cubaan menyeludup keluar 651 bungkusan mengandungi daun ketum seberat 53 kilogram bernilai RM1,590 ke Thailand menerusi Ops Tapis Khas di sebuah rumah di Tunjang, Rabu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah Supritendan Abd Razak Md Zin berkata, serbuan dilakukan pada 6 petang, 7 Januari lepas dan polis menahan dua suspek iaitu seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun merupakan penjual daun ketum dan seorang lelaki warga Thailand, 22, iaitu pembeli.

Katanya, ketika serbuan dilakukan dua suspek sedang memasukkan bungkusan daun ketum itu pada bahagian dinding pintu kereta jenis Honda City milik suspek warga Thailand bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Suspek warga Thailand sebelum ini telah dua kali seludup keluar daun ketum ke Thailand dan lelaki tempatan itu yang membekalkan bekalan tersebut. Bekalan daun ketum ini mudah didapati di sekitar daerah ini," katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu di sini, Sabtu ini.

Beliau berkata penyeludupan daun ketum berlaku disebabkan permintaan dan harganya tinggi mencecah lebih RM50 sekilogram di Thailand berbanding harga di negara ini sekitar RM30 sekilogram.

Abd Razak berkata kedua-dua suspek direman pada 8 Januari hingga esok bagi membantu siasatan.

Beliau berkata menerusi Ops Tapis Khas di Daerah Kubang Pasu pada 7 dan 8 Januari lepas pihaknya menahan 13 lelaki tempatan dan seorang warga Thailand berusia antara 20-65 tahun yang terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan ketum.

Katanya menerusi operasi tersebut pihaknya merampas 110.7 kg daun ketum bernilai RM3,321; 117 liter air ketum bernilai RM1,404 dan tujuh ubat batuk bernilai RM70.

"Daripada 14 suspek yang ditahan lima mempunyai rekod jenayah lampau seperti dadah dan mencuri. Rata-rata mereka yang ditahan tidak bekerja. Kesemua suspek akan disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

Abd Razak berkata hasil rampasan daun ketum meningkat sebanyak 163 peratus pada tahun lepas iaitu 5,654 kg daun ketum bernilai RM169,620 bagi tempoh Januari hingga Disember tahun lepas berbanding 2,143 kg bernilai RM64,290 bagi tempoh sama pada 2013.

Beliau berkata, rampasan air meningkat sebanyak 53 peratus iaitu 4,100 liter bernilai RM49,200 pada tahun lepas berbanding 2,700 dengan nilai RM32,400 pada tahun 2013.

daun ketum, seludup, Thailand

Artikel Lain