suria

Banjir: Kerosakan Teruk Lumpuhkan Sesi Persekolahan

Kerosakan yang dialami Sekolah Kebangsaan Kuala Nal, Kuala Krai.

KUALA KRAI: Sekolah Kebangsaan Kuala Nal adalah antara empat buah sekolah di Kelantan yang akan menangguhkan sesi persekolahannya ekoran kerosakan teruk yang dialami premis tersebut.

Guru Besarnya, Nooraini Yaakob, 58, berkata mereka tidak mempunyai masa yang cukup untuk menyiapkan keperluan pembelajaran seperti biasa.

"Walaupun ramai sukarelawan tampil membantu, kita hanya mampu untuk membersihkan sampah sarap.

"Kami masih tidak mempunyai bekalan air yang stabil dan ia melumpuhkan usaha untuk membersihkan sekolah," katanya.

Tambah Nooraini walaupun selepas pembersihan selesai, sekolah itu memerlukan perabot dan buku-buku baharu.

"Meja, kerusi dan peralatan makmal sains bukanlah menjadi keutamaan kerana para pelajar langsung tidak mempunyai buku ataupun pakaian seragam," katanya.

Masih ramai pelajar yang akan memulakan sesi persekolahan juga tidak mempunyai kasut, pensel mahupun pen.

Penduduk kampung di Kampung Nal berkata mereka tidak mempunyai wang atau pengangkutan untuk membeli keperluan asas.

Menurut mereka bantuan daripada NGO dan kerajaan amat diperlukan.

Suri rumah, Munirah Mokhtar, 28, berkata ketua kampungnya memberi jaminan bahawa pihak sekolah akan mendapat barangan yang diperlukan.

"Beliau memberitahu kami bahawa beberapa NGO dan pengurusan sekolah akan membantu memastikan keperluan asas disediakan," katanya.

Munirah berkata kedua anak lelakinya yang berada di sekolah rendah , dan dua orang anaknya perempuannya yang belajar di pra-sekolah tidak mempunyai apa-apa lagi selain beg, buku dan beberapa alat tulis.

"Anak saya Mohd Murthada Ali Redha Nasaruddin, 12, menerima sebuah beg sekolah dan buku nota apabila sebuah lori yang membawa bantuan datang ke sini.

"Namun anak kedua saya Mohd Ali Kazimi Nasarudin, 10, yang pergi ke rumah datuk mereka tidak mendapat apa-apa untuk ke sekolah," katanya.

Banjir Pantai Timur

Artikel Lain