suria

Skim Penggantian Bas Sekolah Yang Ditamatkan 'Mengarut' - PPBSM

PETALING JAYA: Pengusaha bas sekolah mendakwa Skim Penggantian Bas Sekolah yang ditamatkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada 31 Disember lalu sebenarnya tidak relevan untuk digunapakai dalam mempertingkatkan mutu perkhidmatan industri tersebut.

Presiden Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPBSM) Amali Munif Rahmat berkata, skim pinjaman tersebut hanya memberi manfaat kepada segelintir pengusaha bas sekolah sahaja.

"Skim tersebut tidak relevan dan hanya menawarkan pinjaman sehingga RM150,000 untuk membeli bas sekolah yang baharu. Ia hanya memberi manfaat kepada segelintir pengusaha sahaja... sebagai contoh mereka yang memiliki bas sekolah bersaiz kecil atau van sekolah yang sudah uzur.

"Ini kerana van sekolah yang baharu boleh didapati pada harga RM60,000. Jadi mereka boleh mohon pinjaman tersebut tanpa perlu mengeluarkan wang sendiri," katanya.

Bas sekolah bersaiz sederhana atau van sekolah boleh didapati pada harga serendah RM60,000.

Beliau berkata, alasan SPAD untuk menamatkan skim tersebut berikutan kurang mendapat sambutan di kalangan pengusaha juga disifatkan sebagai tidak munasabah.

"Kira-kira 200 van sekolah yang melebihi usia 25 tahun masih bergerak buat masa ini, jadi jumlah itu sedikit jika dibandingkan dengan bas mini yang uzur. Oleh itu, mereka (SPAD) boleh cakap kurang sambutan," katanya.

Menurut beliau, kira-kira 2,000 bas sekolah yang melebihi usia 25 tahun adalah merupakan bas sekolah bersaiz sederhana atau bas mini yang berharga antara RM230,000 hingga RM300,000.

Jadi, katanya, pengusaha bas sekolah bersaiz sederhana (bas mini) yang amat memerlukan skim tersebut tetapi syarat pinjaman membataskan hasrat untuk menggantikan bas sekolah lama kepada yang baharu.

"Skim tersebut hanya menawarkan pinjaman sehingga RM150,000 sedangkan sebuah bas mini baharu dengan kapasiti 25 tempat duduk boleh mencecah harga sehingga RM300,000. Walaupun adanya bantuan itu, kita masih perlu tambah dengan duit sendiri dalam jumlah yang banyak," katanya.

Beliau berkata, bagi pengusaha yang bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan tersebut sebagai sumber pendapatan, sudah pastinya agak sukar bagi mereka untuk mendapatkan wang yang banyak itu.


Amali Munif Rahmat.

"Kalau pinjaman RM150,000, bas mini yang baharu boleh mencecah harga RM300,000, mana kita nak cari lagi RM150,000. Kita mana ada wang sebanyak itu, patutnya SPAD kena faham nasib kami, bukannya sediakan pinjaman 'asal cukup' sahaja," katanya.

Pada Khamis, SPAD menjelaskan keputusan menamatkan skim pinjaman tersebut terpaksa dilakukan kerana ia kurang mendapat sambutan di kalangan pengusaha perkhidmatan itu.

Perkara itu didedahkan sumber dalaman suruhanjaya berkenaan kepada mStar Online.

"Maklum balas yang diterima di kalangan pengusaha amat mengecewakan. Oleh itu, skim tersebut ditamatkan," kata sumber.

Menurut SPAD, sebanyak 220 permohonan telah diterima oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan 200 permohonan diluluskan manakala 20 lagi ditolak kerana pemohon diisytiharkan bankrap.

Bagaimanapun, jelas sumber itu lagi, pada asasnya SPAD tidak merancang untuk memperkenalkan sistem baharu bagi menggantikan skim bantuan berkenaan.

Skim yang diuruskan oleh BSN selama dua tahun bermula April 2013 itu sepatutnya berakhir pada April ini.

Artikel Lain