suria

GST: PLUS Pantau Harga Makanan, Minuman Di R&R, Hentian Sebelah

Noorizah bersama para penerima anugerah yang dipertandingkan pada Anugerah Perdana R&R PLUS 2014 di Persada PLUS di Petaling Jaya, Jumaat. Foto AZLINA ABDULLAH/THE STAR

PETALING JAYA: PLUS Berhad akan mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha gerai makanan dan minuman yang menaikkan harga barangan tanpa alasan munasabah apabila Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan April tahun ini.

Pengarah Urusannya, Datuk Noorizah Abdul Hamid berkata, Jabatan Kemudahan Komersil PLUS akan memantau harga barangan yang dijual di semua gerai di Hentian Rawat dan Rehat (R&R) dan Hentian Sebelah seluruh negara.

"Jika ada peniaga menaikkan harga ke tahap tidak munasabah, mereka akan 'demerit'.

"Apabila markah yang mereka terima rendah, PLUS tidak akan meluluskan permohonan untuk memperbaharui kontrak sebagai penggerai kita," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perdana R&R PLUS 2014 di Persada PLUS pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Noorizah berkata, pelaksanaan GST sepatutnya tidak memberikan kesan kepada peniaga berkenaan kerana boleh mendapatkan semula cukai yang dibayar daripada kerajaan.

"Sepatutnya tak ada peniaga yang ambil kesempatan, namun kita akan pantau perkara ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, PLUS berkata, pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk menyediakan kawasan khas merokok di semua R&R, namun langkah penguatkuasaan hanya boleh diambil pihak berkuasa.

"Kita juga membuat papan tanda amaran kawasan larangan merokok terutamanya di kawasan berbumbung dan gerai makanan," katanya.

Namun beliau berkata, orang awam perlu mematuhi arahan berkenaan supaya usaha yang dilaksanakan kerajaan berjaya.

Sementara itu, Noorizah berkata, PLUS memperuntukkan hampir RM250 juta sejak 2005 untuk menaiktaraf R&R dan hentian sebelah di rangkaian lebuh rayanya bagi membolehkan orang ramai menikmati perjalanan yang lebih selesa.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut sebanyak RM26 juta diperuntukkan untuk menaiktaraf beberapa R&R dan hentian sebelah terpilih tahun ini.

"Ketika ini terdapat 24 R&R dan empat restoran jejantas serta 43 hentian sebelah di rangkaian lebuh raya milik PLUS," katanya.

Pada majlis ini juga PLUS menyampai anugerah kepada pengendali gerai PLUS, antara kategori yang dipertandingkan ialah Anugerah Pengendali Gerai Terbaik, Anugerah Tandas Terbaik dan Anugerah Hiasan Merdeka Terbaik 2014.

Ketiga-tiga anugerah ini menawarkan hadiah wang tunai keseluruhannya yang berjumlah RM70,000.

Anugerah Pengendali Gerai Terbaik dimenangi Mohd Fazli Abu Nayam (kategori gerai makanan) (Hentian Rehat dan Rawat Machap Arah Utara); (kategori gerai minuman) Salina Sujak (R&R Ulu Bernam Arah Utara); gerai buah-buahan dimenangi oleh Lie Ying Ping (R&R Dengkil arah Selatan).

Setiap pemenang membawa pulang wang tunai RM 3,000 dan sijil. 

Anugerah Hiasan Merdeka pula dijuarai oleh Hentian Bukit Gantang (arah utara) yang membawa pulang wang tunai RM10,000, sijil dan piala pusingan.

Bagi Anugerah Tandas Bersih PLUS, bagi kategori restoran jejantas/hentian sebelah dimenangi oleh Hentian Sebelah Simpang Pulai (arah selatan). Pemenang menerima hadiah wang tunai RM3,000 dan sijil. 

Sementara bagi kategori hentian sebelah laluan utama dan hentian sebelah plaza tol dimenangi oleh Hentian Sebelah Plaza Tol Jitra yang memperoleh RM1,200 dan sijil.

Artikel Lain